suria

Selcat Dapat Perakuan Mahkamah:Teng

SHAH ALAM: Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor telah memperoleh perakuan mahkamah bahawa Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) adalah jawatankuasa sah mengikut undang-undang, kata Speakernya Datuk Teng Chang Kim.

Beliau berkata perakuan itu diperoleh menerusi satu keputusan oleh Mahkamah Tinggi di sini, Isnin.

"Mahkamah bersetuju bahawa usul untuk menubuhkan Selcat telahpun diluluskan dewan dengan melalui cara ketetapan ataupun usul yang mendapat sokongan majoriti, dan usul ini tidak boleh dicabar menurut Perkara 72 dan 77 Perlembagaan Persekutuan," katanya pada sidang akhbar, Selasa.

Pada 9 November 2009, tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor daripada Barisan Nasional memfailkan saman pemula terhadap pengerusi dan enam anggota Selcat serta tiga lagi, bagi mendapatkan kepastian mengenai kesahihan jawatankuasa itu.

Saman pemula itu difailkan ADUN Sungai Air Tawar Datuk Raja Ideris Raja Ahmad, ADUN Morib Hasiman Sidom dan ADUN Kuala Kubu Baharu Wong Koon Mun di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini.

Mereka menamakan Teng selaku pengerusi Selcat sebagai defendan pertama dan enam anggota jawatankuasa Selcat iaitu Haniza Mohamed Talha, Mohamed Azmin Ali, Saari Sungib, Edward Lee Poh Lin, Sulaiman Abdul Razak dan Ismail Sani, sebagai defendan kedua hingga ketujuh.

Ketiga-tiga ADUN antara lain memohon deklarasi bahawa Teng, sebagai Speaker DUN Selangor dan Pengerusi Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan DUN Selangor, berada dalam posisi bertentangan kerana turut menjadi Pengerusi Selcat, dan sehubungan itu, segala prosiding yang dilaksanakan Selcat adalah batal serta tidak sah kerana bercanggah dengan prinsip keadilan asasi.

Bernama cuba menghubungi ADUN berkenaan untuk mengesahkan keputusan mahkamah itu, namun gagal.

Dalam perkembangan lain, Teng berkata beliau belum menerima perintah mahkamah yang mengekalkan Badrul Hisham Abdullah sebagai ADUN Pelabuhan Klang pada 18 Feb lepas.

Beliau berkata perintah itu perlu diperoleh bagi membenarkan Badrul Hisham menghadiri persidangan DUN Selangor yang dijadual bermula Isnin depan.

Kontroversi timbul selepas Teng mengisytiharkan kerusi Pelabuhan Klang kosong pada 16 Januari lepas kerana Badrul Hisham didakwa gagal menghadiri persidangan DUN selama enam bulan tanpa alasan munasabah.- BERNAMA

Artikel Lain