suria

Pilihan Raya Negeri Sarawak 16 April Ini

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Rabu menetapkan 6 April sebagai tarikh penamaan calon dan 16 April sebagai tarikh pengundian bagi pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-10.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata SPR telahpun menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng pada 21 Mac lalu berhubung pembubaran DUN Sarawak.

"Dengan ini kita mengumumkan 23 Mac tarikh keluar writ iaitu hari ini, 25 Mac tarikh notis pilihan raya, 6 April hari penamaan calon, 16 April tarikh pengundian," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Beliau berkata SPR akan menggunakan daftar pemilih suku pertama, kedua, ketiga dan empat tahun 2010 yang diwartakan pada 25 Mac iaitu membabitkan seramai 979,796 pengundi iaitu 961,433 pemilih biasa dan 18,363 pemilih pos.

Katanya pengundi boleh membuat semakan maklumat pusat mengundi dan saluran mangundi mereka melalui laman web rasmi SPR, melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau menghubungi terus ke pejabat SPR.

Abdul Aziz berkata bagi pilihan raya Sarawak kali ini, seramai 24,379 pegawai SPR termasuk 71 pegawai pengurus pilihan raya (RO) akan ditugaskan di setiap kawasan pilihan raya iaitu membabitkan 1,740 pusat pengundi dan 2,561 saluran pengundi.

Beliau berkata daripada segi bajet, sebanyak RM50 juta digunakan oleh SPR untuk menampung kos logistik termasuk penggunaan dua pesawat ringan, helikopter (24), bot laju (63), perahu panjang (919) selain kenderaan pacuan empat roda (4,124).

Katanya SPR juga akan memastikan semua pusat penjumlahan undi mempunyai kemudahan perhubungan iaitu telefon talian tetap untuk memastikan proses penjumlahan undi dapat dibuat dengan lebih lancar.

"Untuk melancarkan proses pada hari mengundi, SPR juga mendapatkan bantuan pasukan polis bagi kawasan-kawasan yang jauh di pedalaman untuk memastikan peti undi selamat sampai di pusat penjumlahan," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata SPR juga akan menyerahkan kuasa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil sebarang tindakan jika ada calon dan parti yang bertanding melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

Katanya sebarang laporan rasuah yang dilaporkan kepada SPR akan diserahkan kepada SPRM untuk tindakan lanjut kerana mereka lebih arif dan pakar dalam bidang tersebut.

"SPRM juga diberi kuasa untuk memantau apa-apa aktiviti bagi memastikan mana-mana orang yang melanggar Akta 5 disiasat dan didakwa," katanya.

Kali terakhir Sarawak mengadakan pilihan raya DUN ialah pada 20 Mei 2006. -BERNAMA

Artikel Lain