suria

Pengharaman Loteri: PAS Tidak Tunduk Kepada DAP - Fatah

RANTAU PANJANG: PAS mendakwa ia tidak tunduk kepada rakan sekutunya, DAP, walaupun ia bersedia mengkaji semula larangan terhadap aktiviti perjudian di Kelantan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Kewangan, Ekonomi dan Kebajikan Negeri, Abdul Fatah Harun berkata kajian itu hanya bagi menentukan bidang kuasa pihak berkuasa kerajaan tempatan dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menjual tiket judi di luar premis perniagaan.

"Undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan jelas tidak membenarkan kegiatan perjudian dilakukan dalam premis di kawasan pihak berkuasa kerajaan tempatan, sebagaimana mengikut Akta Kerajaan Tempatan.

"Tidak timbul soal kita tunduk kepada tekanan mana-mana pihak menyebabkan kerajaan negeri bercadang mengkaji semula undang-undang melarang kegiatan perjudian di negeri ini," katanya kepada Bernama di sini, Rabu.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dua minggu lepas berkata beliau akan meminta Penasihat Undang-Undang mengkaji semula dari segi undang-undang dalam pengharaman kegiatan perjudian di negeri ini.

DAP sebelum ini mahu kerajaan Pas Kelantan mengkaji semula tindakannya merampas tiket loteri kebajikan di tiga premis perniagaan di bandar ini supaya tidak menjejaskan sokongan masyarakat Cina pada pilihan raya umum ke-13 nanti. -BERNAMA

Artikel Lain