suria

Pelajar Malaysia Di Jepun Diseru Jayakan Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Kelab Putera 1Malaysia mengalu-alukan pelajar-pelajar Malaysia yang berada di Jepun untuk sama-sama menjayakan misi bantuan kemanusiaan supaya berjalan dengan lancar.

Presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata Duta Besar Malaysia di Jepun Datuk Shaharuddin Md Som telah diminta supaya mengumpulkan pelajar dan rakyat Malaysia yang tinggal di negara itu dan beliau sendiri akan mengadakan pertemuan dengan mereka setibanya di sana nanti.

"Duta Malaysia telah memanggil pelajar untuk ikut kita dalam misi ini. Kita mahu pelajar di sana tunjukkan selok belok jalan di sana.

"Kita akan jumpa dengan pelajar-pelajar di Malaysia terlebih dahulu dan kami ada bekalan 5,000 nasi beriani dan nasi goreng dari Malaysia untuk mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan gempa bumi/tsunami Jepun di Pejabat Putera 1Malaysia, di sini pada Rabu.

Menurut Abdul Azeez, seramai 50 sukarelawan akan berlepas ke Jepun dalam dua kumpulan di mana kumpulan pertama seramai 10 orang akan berlepas dengan pesawat AirAsia, Airbus A320, pada pukul 2.30 petang Khamis dan akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, 20km dari Tokyo. Dan kumpulan kedua pula akan berlepas pada hari Ahad ini, dan kesemua mereka dijangka berada di Jepun sehingga 6 April, katanya.

"Kami akan mengagih-agihkan barangan keperluan yang dibawa ke sana di kem-kem pemindahan mangsa bencana itu antaranya di Atari, Sendai, Miyami. Kita menjangkakan dengan jumlah barangan yang kita ada dapat menampung keperluan 10,000 keluarga yang memerlukan di kawasan bencana," katanya.

Sebanyak 200 tan barangan termasuk satu juta botol air mineral, 200,000 cawan mi segera, 20,000 beg tidur, 5,000 kasut but getah dan 2,000 sarung tangan getah seperti yang diperlukan oleh mangsa bencana alam itu.

Dalam pada itu, Abdul Azeez berkata kumpulan yang terdiri daripada doktor perubatan, sukarelawan serta media akan dibekalkan dengan pas yang boleh mengesan kadar radiasi.

"Kita ada bawa dua orang pakar nuklear dari Malaysia. Kita akan dipakaikan dengan alat pengesan kadar radiasi dan sekiranya tahap radiasi tinggi, kita akan diberikan pil iodin untuk ditelan. Kita juga membawa khemah sendiri dan kita akan bergerak dari satu tempat ke satu tempat.

"Ini kerana kawasan di sana masih mengalami gempa susulan setiap hari pada kadar 6.3 hingga 6.8 pada skala Richter," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Azeez berkata orang ramai yang ingin menyumbang barang-barang keperluan seperti air mineral, mi segera, selimut dan sebagainya, boleh menghantar ke pejabat Kelab Putera 1Malaysia kerana bilik gerakan di situ akan beroperasi sehingga 19 April ini. - BERNAMA

Artikel Lain