suria

Misi Ke Jepun Bukti Keikhlasan Rakyat Malaysia - Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan misi bantuan kemanusiaan ke Jepun sebagai tanda penghargaan terhadap hubungan dua hala yang terjalin sejak sekian lama antara Malaysia dan Jepun.

Perdana Menteri berkata misi bantuan itu juga adalah satu manifestasi keikhlasan dan kesanggupan rakyat di negara ini membantu rakyat Jepun yang sedang menghadapi kesengsaraan berikutan bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda negara itu dua minggu lepas.

"Jepun sebagai sebuah negara yang akrab persahabatannya dengan Malaysia yang telah banyak membantu dalam pembangunan ekonomi Malaysia sejak dulu lagi, maka adalah amat wajar dan tepat sekali kita melakukan apa saja yang mampu untuk membantu mereka dalam saat-saat yang begini mencabar yang sedang dihadapi oleh rakyat Jepun.

"Saya yakin dan percaya bahawa bantuan ini akan dapat sikit sebanyak meringankan beban rakyat Jepun, dan lebih daripada itu, menguatkan semangat mereka untuk pulih daripada keadaan ini kerana mereka akan menyedari bahawa dunia menyokong mereka dalam apa saja yang dilakukan oleh negara-negara seperti Malaysia ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan gempa bumi/tsunami Jepun di Pejabat Putera 1Malaysia di sini, Rabu.

Beliau berkata Malaysia juga bersedia untuk memberikan bantuan tambahan sekiranya diminta berbuat demikian oleh rakyat di Jepun.

"Malaysia mungkin sebuah negara kecil tapi jiwa kita besar dan kita sanggup tampil ke hadapan untuk membantu rakyat Jepun untuk menghadapi keadaan yang begini tertekan yang sedang dihadapi oleh mereka.

"Saya mengajak rakyat Malaysia untuk mendoakan semoga pasukan misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ini selamat berlepas, selamat menjalankan misi mereka dan selamat kembali ke tanah air," kata Najib.

Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada mereka yang sudi menghulurkan bantuan daripada segi pengangkutan serta barang-barang keperluan seperti air mineral, mi segera, selimut tebal, sarung tangan dan kasut but getah, yang menjadi keperluan rakyat di Jepun buat masa ini.

"Saya juga ingin ucap terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada misi ini. Selain daripada 50 sukarelawan Kelab Putera 1Malaysia, AirAsia juga memberi perkhidmatan penerbangan dan pengangkutan barangan secara percuma dan ramai pihak yang menyumbang barang-barangan yang dipusatkan di sini, dan mereka yang menyumbang dan tidak mahu nama disebut, saya ucapkan terima kasih," katanya.

Ditanya sama ada Malaysia akan menghantar semula pasukan Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (Smart) ke Jepun, Najib berkata kekuatan pasukan penyelamat di Jepun sudah memadai untuk menjalankan misi berkenaan.

Katanya, buat masa ini, Jepun lebih memerlukan bantuan kemanusiaan dalam bentuk barangan dan keperluan yang lain itu, kita perlu kepada mereka yang tahu keadaan setempat. Kerajaan Jepun mempunyai kekuatan yang mencukupi cuma mereka perlu bantuan seperti mana yang perlu sekarang ini," katanya.

Terdahulu dalam ucapan penghargaannya yang disampaikan dalam bahasa Melayu, Duta Jepun ke Malaysia, Masahiko Horie, berkata Jepun sangat menghargai kesudian Malaysia untuk menghantar bantuan berupa makanan, air mineral, bekalan perubatan serta keperluan asas yang lain ke kawasan-kawasan yang dilanda bencana.

Katanya beliau yakin dengan sokongan dan bantuan yang dihulurkan itu, rakyat Jepun akan berjaya mengatasi kesukaran yang dihadapi akibat bencana gempa bumi dan tsunami.

"Saya ingin berterima kasih kepada Perdana Menteri dan Kelab Putera 1Malaysia kerana mengambil berat keadaan rakyat di Jepun. Saya yakin rakyat Jepun akan kembali bangkit mengharungi cabaran bencana ini," katanya.

Misi bantuan kemanusiaan ke Jepun terdiri daripada 50 sukarelawan dan wakil media akan bergerak dalam dua kumpulan.

Kumpulan pertama seramai 10 orang sukarelawan akan berlepas dengan pesawat AirAsia pada 2.30 petang esok dan lain-lain akan berlepas pada Ahad. -BERNAMA

Artikel Lain