suria

'Datuk T' Adalah Trio Tiga Datuk - Rahim Thamby Chik

KUALA LUMPUR: Tan Sri Rahim Thamby Chik pada Rabu mengesahkan beliau, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Datuk Shuib Lazim adalah Datuk 'T' yang terlibat dalam mendedahkan skandal video seks kepada media Isnin lalu.

Bercakap kepada pemberita di Hotel Impiana, beliau turut menggesa kerajaan Persekutuan agar segera menubuhkan sebuah suruhanjaya diraja bagi menyiasat ketulenan video seks tersebut.

Rahim yang juga Pengerusi Risda berkata, isu ini perlu segera disiasat kerana ia telah menjadi polemik negara.

Rahim adalah bekas ketua menteri Melaka dan bekas ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Shazryl Eskay Abdullah adalah seorang ahli perniagaan dari Kedah dan Shuib pula merupakan bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa atau Perkasa.

Selama tiga hari selepas pihak media didedahkan dengan kewujudan sebuah klip video seks yang didakwa melibatkan pemimpin tertinggi pembangkang, seluruh negara tertanya-tanya siapakah sebenarnya disebalik identiti Datuk 'T' yang bertanggungjawab mendedahkannya.

Rahim ketika bercakap dalam sidang media yang dipenuhi oleh para wartawan dalam dan luar negara bagaimanapun enggan menamakan individu yang terlibat dalam video seks berkenaan sebaliknya beliau hanya menggelarkannya 'orang ini bakal jadi Perdana Menteri Malaysia'.

Turut hadir ialah, Shazryl yang lebih dikenali dengan panggilan Datuk Eskay. Bagaimanapun Shuib tidak sempat hadir pada sidang akhbar tersebut.

Rahim menjelaskan bahawa individu dalam video seks itu pernah memintanya meletakkan jawatan sebagai ketua menteri Melaka atas alasan menjaga kepentingan negara ketika beliau berhadapan dengan skandal seks satu ketika dahulu.

Bagaimanapun beliau dibebaskan daripada tuduhan tersebut oleh mahkamah.

"Orang ini pernah meminta saya meletakkan jawatan dengan mengatakan saya merupakan satu liabiliti. Saya diminta letak jawatan (sebagai Ketua Menteri Melaka) walaupun saya tak bersalah," katanya.

Oleh itu beliau meminta Kerajaan Persekutuan segera menubuhkan sebuah suruhanjaya diraja bagi menyiasat kesahihan serta ketulenan video yang dirakamkan itu.

"Saya harap Suruhanjaya Diraja itu akan dianggotai oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sendiri, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, wakil DAP, serta pertubuhan bukan kerajaan seperti Perkasa, Presiden Kita, Datuk Zaid Ibrahim serta wakil media.

"Biar semua pihak dapat lihat kebenaran. Parti politik serta pihak kerajaan juga boleh meletakkan wakil mereka dalam suruhanjaya diraja ini," tegasnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Rahim juga turut menolak dakwaan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul bahawa beliau menawarkan sejumlah wang kepada wakil rakyat PKR itu.

Sebaliknya beliau mendakwa, Johari yang meminta 'wang pelincir' (berjumlah sekian-sekian banyak) selepas beliau melihat video seks berkenaan di sebuah hotel baru-baru ini.

"Saya ingin nafikan, saya tidak pernah tawarkan sebarang ganjaran atau duit kepada dia (Johari). Kita hanya mahu pengesahan daripada dia siapa individu dalam video itu.

"Ketika menyaksikannya Johari sendiri mengesahkan yang kelihatan itu adalah pemimpin pembangkang berkenaan dengan jelas," katanya.

Rahim turut mendakwa, Johari telah meminta ganjaran untuk tiga wakil rakyat PKR yang akan dibawa untuk menonton video seks berkenaan.

"Bagaimanapun kita tolak, kerana kita tidak mahu libatkan wang mahupun membeli sesiapa, sebaliknya pendedahan kita hanyalah demi memberitahu perkara yang benar sahaja," katanya.

Artikel Lain