suria

BN Sarawak akan Bergantung Kepada Kekuatan Sendiri - Taib

KUCHING: Barisan Nasional (BN) Sarawak mesti bergantung kepada kekuatannya sendiri dan tidak mengambil kesempatan daripada kelemahan pembangkang dalam menghadapi pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 16 April ini, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Selasa.

Taib, yang juga Pengerusi BN negeri, berkata beliau telah memberitahu gagasan BN negeri, yang menguasai 63 daripada 71 kerusi DUN ketika ini, supaya tidak terlalu bergantung kepada kelemahan pembangkang yang menerima satu lagi tamparan hebat ekoran kebuntuan dalam rundingan berhubung pembahagian kerusi antara Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Bergantunglah kepada kekuatan anda. Yang paling penting ialah kita (BN) mendapat kepercayaan (rakyat) dan rekod pencapaian yang baik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Ketua-ketua Jabatan Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia di sini.

Ketua Menteri berusia 75 tahun itu, yang dipertanggungjawabkan untuk mengetuai kempen pilihan raya BN, ditanya sama ada perpecahan dalam barisan pembangkang di negeri ini, terutamanya percanggahan berhubung pembahagian kerusi akan memperkukuhkan kedudukannya dalam menghadapi pilihan raya negeri.

SNAP dan PKR kini bertelagah selepas kedua-dua parti pembangkang itu mengumumkan hasrat untuk bertanding masing-masing bagi 40 dan 52 kerusi.

Mengenai pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa pengundian akan diadakan pada 16 April, dengan penamaan calon ditetapkan pada 6 April, Taib berkata beliau menyerahkan kepada SPR untuk menetapkan tempoh berkempen, kali ini selama sepuluh hari.

DUN Sarawak dibubarkan Isnin lepas untuk memberi laluan kepada pilihan raya DUN Sarawak ke-10. Penggal DUN sebelum ini berakhir pada 23 Julai.

Ditanya sama ada beliau lebih menyukai tempoh berkempen yang singkat atau lebih lama, Taib berkata beliau tidak mahu mencampuri urusan SPR dalam perkara itu.

"Mereka (SPR) lebih mengetahui. Mereka menimbangkan dari banyak sudut," katanya.

Isnin lepas, beliau berkata gagasan BN akan mengumumkan barisan calonnya dengan kira-kira satu perempat daripada 35 kerusi yang diagihkan kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), iaitu tunjang BN negeri yang beliau ketuai, dijangka merupakan muka baru.

Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) mendapat 12 kerusi manakala Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) masing-masing lapan. - BERNAMA

Artikel Lain