suria

Stesen TV Memilih, Produser Pening Kepala

MINGGU lalu saya berkesempatan makan malam dengan beberapa orang produser televisyen dan juga pengarah drama.

Mereka ini orang yang kreatif dari segi berfikir dan juga ketika melontarkan idea-idea dalam menterjemahkan karya mereka.

Kata mereka di negara kita terdapat kira-kira 200 orang produser dan ramai pengarah drama. Tapi sayang tak semua produser dan pengarah mendapat tempat di stesen-stesen televisyen walaupun sekarang kita mempunyai lebih sepuluh saluran.

Produser tersebut mengadu kertas cadangan yang dihantar ke stesen televisyen kena reject dan masuk bakul sampah hanya kerana dia bukan produser yang glamor.

Begitu juga nasib seorang pengarah, apabila stesen televisyen tidak mahu mencuba bakatnya disebabkan namanya tidak popular.

Jadi, balik-balik yang dapat peluang atau job dengan stesen televisyen ialah orang yang sama.

Sebab itulah kalau kita tengok drama atau telefilem di mana-mana saluran televisyen, balik-balik orang itu juga.

Kita seolah-olah ketiadaan pelapis sedangkan jumlah pekerja belakang tabir itu sebenarnya ramai.

Saya tidak salahkan stesen televisyen kerana mereka mempunyai garis panduan sendiri. Mereka juga mahukan karya-karya yang bermutu untuk membolehkan sesebuah drama itu disiarkan menerusi slot masing-masing.

Sebab itulah menjadi amalan hari ini, semua saluran televisyen mempunyai unit yang akan meluluskan sesebuah cadangan penghasilan drama.

Ia bukan hanya tertumpu kepada pengarah dan produser sahaja sebaliknya pemilihan pelakon juga terletak kepada kemahuan unit ini.

Jadi kalau ada pelakon yang banyak buat perangai, unit ini juga akan menapis nama mereka dalam mana-mana drama yang dicadangkan oleh produser.

Sikap terlalu memilih kerana pentingkan kualiti ini amat baik tetapi sampai bilakah kita hendak mengamalkan sistem seperti itu? Hari ini bilangan pelakon semakin ramai.

Saluran televisyen juga semakin banyak. Karya-karya orang baru hendaklah diberi perhatian.

Kalau kerenah birokrasi ini masih menjadi amalan, tentu sahaja ia akan membantutkan produser dan juga pengarah baru untuk berkarya.

Dalam masa yang sama stesen televisyen dilihat tidak memberi ruang atau peluang kepada individu lain mengembangkan bakat mereka.

Saya amat bersimpati apabila ada pengarah drama yang sanggup untuk buat kerja secara percuma dengan merayu daripada syarikat-syarikat produksi besar supaya memberi peluang mereka mengarah.

Kesungguhan itu memperlihatkan bahawa pengarah baru hari ini sememangnya serius dalam bidang yang dia pilih. Bukannya main-main.

Maka dia sanggup memperdagangkan bakatnya untuk dinilai oleh stesen televisyen. Saya hanya boleh bersimpati dengan mereka tetapi tidak mampu berbuat apa-apa dan berharap stesen televisyen boleh mengubah persepsi dengan memberi ruang kepada orang baru.

NIEZAM: Dengar cerita seorang pelakon wanita kena gam dengan stesen TV. Kesian!

Fizz Fairuz sepatutnya minta maaf

SAYA mendapat banyak mesej daripada pembaca yang naik angin dengan pelakon Fizz Fairuz. Sebabnya, pelakon itu tergamak buat lawak tak kena cara dalam Twitter miliknya.

Ketika rakyat Jepun dilanda kesengsaraan akibat malapetaka Tsunami, Fizz bergurau dengan menulis: Manalah Ultraman, Power Ranger dan Doraemon dalam saat-saat genting Tsunami di Jepun.

Perkataan itu bagi Fizz sekadar gurauan. Dia tak berniat mempersendakan mereka yang sengsara akibat bencana itu.

Tetapi, tak semua orang boleh terima gurauan Fizz apatah lagi ia ditulis dalam Twitternya yang boleh dibaca oleh semua orang. Kalau ada rakyat Jepun yang menjadi pengikut Twitter dia pun boleh kecil hati.

Perbuatan Fizz itu menyebabkan dia ditempelak oleh presiden Seniman, Harun Salim Bachik yang tidak bersetuju dengan gurauan kasar itu.

Saya agak terkejut apabila membaca satu laporan apabila Fizz tak mahu komen mengenai perkara itu ketika diminta mengulas mengenai perbuatannya.

Kalau saya jadi Fizz senang saja. Minta maaflah. Nak tunggu apa lagi? Semua manusia di dunia ini buat silap.

Malah sebuah akhbar harian yang menyiarkan karikatur mengenai perkara yang sama juga turut memohon maaf.

Sebagai rakyat Malaysia yang tinggi budayanya, memohon maaf ialah satu cara yang paling agung. Rakyat Malaysia juga seorang yang pemaaf.

Sekarang, para peminat sudah naik angin dan geram dengan sikap Fizz walaupun dia mungkin sudah berasa bersalah dengan perbuatannya itu.

Saya mengenali Fizz. Pada dasarnya dia seorang yang baik. Dia mungkin tak sedar perbuatannya itu telah melukai hati orang lain tapi saya percaya, Fizz tidak sengaja dan tidak berfikir panjang semasa menulis ayat itu.

Tapi dia seharusnya tidak mengelak untuk meminta maaf di atas keterlanjurannya.

NIEZAM: Sudah lama memaafkan.

Jaga mulut, jangan mencarut

Artis kalau bertemu artis, mereka lupa dunia. Inilah yang hendak saya perkatakan minggu ini ketika berada dalam sekumpulan artis yang suka bercakap.

Saya sayangkan kumpulan artis ini walaupun mereka digelar artis gred tiga. Pada saya, gred tiga atau gred 10 itu tak penting. Yang penting macam mana mereka upgrade diri masing-masing untuk menjadi artis yang hebat.

Saya suka melihat artis yang suka bercakap kerana setiap apa yang keluar daripada mulut mereka kadang kala menghiburkan.

Tapi awas... sayang sekali jika golongan artis bertemu artis, mereka bercakap tak ingat dunia sehinggalah banyak perkataan panas termasuklah yang bunyinya seperti mencarut terlepas keluar.

Pada mereka, tak salah nak cakap apa-apa kerana mereka jujur ketika berkomunikasi sesama mereka.

Sayang sekali mereka tak sedar, orang sekeliling akan pasang telinga apabila mendengar artis yang bercakap.

Bahayanya ialah perkataan-perkataan yang kurang manis tidak semua orang suka. Jadi saya berharap artis-artis yang suka mencarut itu supaya lebih berhati-hati. Mereka kena jaga mulut apabila berada di khalayak.

Saya takut sia-sia sahaja mereka kena sapu cili pada mulut.

NIEZAM: Jaga hati.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain