suria

Soal Keperluan ATM Tidak Boleh Dibincang - Zahid

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa soal kesiapsiagaan dan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak boleh dibincangkan atau dipolimikkan, termasuk di Parlimen.

Beliau berkata, walaupun anggota Parlimen mempunyai imuniti dan kekebalan untuk bertanya apa sahaja di Dewan Rakyat, namun soal keupayaan ATM tidak boleh dikompromi dan dibincangkan secara terbuka.

Menggulung perbahasan titah ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Dewan Rakyat, di sini, hari ini, Ahmad Zahid turut menegaskan semua anggota Parlimen tanpa mengira parti harus berpendirian bahawa soal rahsia ketenteraan tidak boleh dipolitikkan bagi keselamatan negara.

Membidas beberapa anggota Parlimen pembangkang yang sering membangkitkan isu-isu kesiapsiagaan ketenteraan di Dewan Rakyat, khususnya Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara), Ahmad Zahid berkata, soal kerahsiaan negara seharusnya dipertahankan oleh semua, sama ada penyokong kerajaan mahupun pembangkang.

"Kalau kita setia kepada negara kita, kita boleh berbeza pada pendapat lain tapi soal kesiapsiagaan, dan keupayaan (ketenteraan) jangan bincangkan," katanya yang bersetuju dengan pandangan Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) bahawa pembangkang sengaja mempolitikkan soal pertahanan negara.

Dalam pada itu, sesi penggulungan itu kecoh seketika apabila berlaku perang mulut antara beliau dan Pua mengenai perolehan enam buah kapal tempur pesisir ATM yang didakwa anggota Parlimen pembangkang itu sebagai 870 peratus lebih tinggi daripada sebenar.

Menyifatkan dakwaan itu hanya tuduhan semata-mata, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak akan teragak-agak untuk mengheret Pua ke mahkamah atas dakwaan itu, serta turut mencabar Pua membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyamannya di mahkamah sekiranya beliau benar-benar mempunyai bukti atas dakwaannya itu.

"Itu satu tuduhan yang liar. Kenapa apabila SPRM minta Yang Berhormat untuk mengemukakan bukti, mengapa tidak berani, mengapa takut, mengapa gunakan blog, mengapa gunakan ruang mega maya untuk mempertahankan diri.

"Kalau betul-betul berani, ada ketelusan, kemukakan bukti itu di SPRM, biar SPRM lakukan siasatan. Saya sedia untuk kemuka sebarang bukti yang diperlukan oleh SPRM," katanya.

Menjawab soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh), Ahmad Zahid berkata, Malaysia tidak perlukan jawatankuasa khas pilihan untuk membincangkan mengenai perolehan aset ketenteraan seperti yang diamalkan oleh beberapa negara luar.

"Kita sudah ada beberapa badan yang telah dibentuk iaitu daripada Perbendaharaan sehingga ke peringkat Unit Perancang Ekonomi (EPU). Kita juga ada jawatankuasa di peringkat kementerian dan di Parlimen ada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang akan memantau sekiranya timbul atau berlaku ketidaktelusan terhadap perolehan aset ATM," katanya.

Mengenai langkah persediaan ATM bagi melindungi data sistem pertahanan negara, Ahmad Zahid berkata, kementerian melalui Bahagian Komunikasi dan Elektronik Pertahanan (Komlek) telah menubuhkan Cawangan Peperangan Siber (CPS) yang berfungsi untuk menentukan keselamatan ICT ATM.

Kementerian Pertahanan juga kini dalam usaha menubuhkan Pusat Operasi Siber ATM yang dijangka siap penghujung tahun ini dan akan beroperasi 24 jam untuk memantau keselamatan rangkaian serta melindungi data dan sistem secara berterusan, katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, seramai 27 kematian direkodkan sejak Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) diperkenalkan pada 2004 sehingga Disember 2010.

"Jumlah kematian ini adalah daripada keseluruhan 560,000 pelatih yang pernah mengikuti PLKN. Daripada 27 kematian ini, 15 orang meninggal dunia semasa latihan, sembilan orang meninggal semasa cuti, tiga orang meninggal selepas tamat latihan," katanya.

Sehubungan itu katanya, bukan semua kematian berlaku semasa pelatih dalam latihan, tetapi ada yang memang mempunyai penyakit semasa masuk PLKN. Jadi tidak adillah jika Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dituduh tidak mengambil berat soal kesihatan pelatih, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain