suria

SNAP, PKR Akan Selesaikan Isu Pengagihan Kerusi Pada Pilihan Raya Sarawak

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yakin Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan dapat menyelesaikan isu pengagihan kerusi pada pilihan raya Sarawak akan datang "demi kepentingan lebih utama iaitu mengurangkan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN)."

Beliau berkata pembangkang perlu memperakui kelemahan dan kekuatan masing-masing.

"Saya pasti jika wujud komitmen sebenar dan ikhlas untuk mengurangkan majoriti dua pertiga BN, masalah ini boleh diselesaikan" katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen mengumpul dana dan maskot DAP bagi pilihan raya negeri Sarawak di sini, Isnin.

Presiden SNAP Edwin Dundang semalam berkata tiada ada perbincangan antara parti berpangkalan di Sarawak itu dan PKR, menyatakan beliau kecewa dengan kegagalan untuk mencapai persetujuan berhubung pengagihan kerusi.

Dundang juga mendakwa PKR tamak kerana ia turut mensasarkan kerusi daripada PAS dan DAP.

Lim berkata pengagihan kerusi di kalangan parti pembangkang di Sarawak masih lagi dibincangkan.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan hari ini, bagi diadakan pilihan raya negeri ke-10.

BN menguasai 63 daripada 71 kerusi DUN selepas Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Engkilili, Dr Jonical Rayong Ngipa, yang bertanding atas tiket SNAP pada pilihan raya negeri 20 Mei, 2006, menyertai BN tahun lepas.

DAP menguasai enam kerusi manakala PKR dan Parti Cinta Malaysia (PCM), menerusi wakil rakyat Bebas, masing-masing menguasai satu kerusi.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain