suria

Skandal Video Seks: Pakatan Sukar Mempercayainya

KUALA LUMPUR: Adalah amat jelas sekali, PAS dan DAP sukar untuk mempercayai bahawa pemimpin yang didakwa muncul dalam rakaman video seks sebagaimana yang diheboh-hebohkan sekarang adalah ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Boleh dikatakan kesemua mereka berdiri teguh di belakang Anwar dan menyifatkan kemunculan video berkenaan sebagai sesuatu yang tidak benar, bermotifkan politik dan menyalahi undang-undang.

Oleh yang demikian tidak timbul sama sekali soal mereka akan memutuskan hubungan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau meninggalkan Pakatan Rakyat.

President PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengutuk tindakan mempertontonkan rakaman video berkenaan dan menyifatkannya sebagai taktik kotor untuk menjahanamkan pembangkang.

“Pakatan telah memutuskan untuk menolak segala permainan kotor ini yang nampaknya bertujuan untuk memfitnah dan memalukan seseorang. Malah rakaman video ini juga muncul pada ketika Dewan Undang Negeri Sarawak dibubarkan.

“Oleh yang demikian, Pakatan menggesa orang ramai bersatu hati dalam menolak permainan politik kotor ini,” katanya dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh pejabat Ketua Pembangkang di bangunan Parlimen, Selasa.

Hadi Awang juga turut menggesa supaya taktik kotor seperti ini dihentikan segera agar rakyat dapat menumpukan perhatian kepada pilihan raya yang akan diadakan di Sarawak secara adil dan saksama.

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula berkata, keputusan partinya adalah jelas iaitu mereka akan terus menyokong dan bersama-sama PKR dan juga Anwar.

“Rakyat Malaysia harus bersatu menyatakan penentangan mereka dan mengutuk ke atas pembunuhan karakter yang sedang berlaku sekarang,” ujarnya.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub kontroversi yang dicetuskan ini sama sekali tidak akan menjejaskan hubungan antara parti itu dengan PKR dan Anwar.

“Segala-galanya tentang skandal itu adalah salah. Cara klip video itu didedahkan juga adalah salah dan menontonnya pun adalah salah. Islam tidak dapat menerima ini semua,” katanya ketika ditemui di bangunan Parlimen petang Selasa.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain