suria

Pilihan Raya Negeri Sarawak: Pembangkang Kian Cacamarba - Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang lebih cerah untuk menang besar pada Pilihan Raya Negeri Sarawak berikutan keadaan pembangkang di negeri itu kini semakin cacamarba.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, isu Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tiada kesepakatan selain percanggahan pendapat antara PAS dengan DAP membuktikan pakatan pembangkang kelam-kabut.

"Sementara pakatan pembangkang semakin caca merba, pelaksanaan perubahan dan transformasi BN Sarawak untuk mengetengahkan ramai muka baru pada Pilihan Raya Negeri Sarawak kini berjaya membuktikan pembaharuan dan meningkatkan keyakinan rakyat kepada BN.

"Pelbagai perbezaan dalam pakatan pembangkang, ia hanya pakatan caca merba, ketuanya caca-merba sehingga pembangkang tidak mampu membawa untung, malah sia-sia kepada rakyat. Tidak boleh dicontohi, ketuanya bermasalah dan tidak boleh dicontohi juga," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Kuala Lumpur di sini, Selasa.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengulas perkembangan terkini di Sarawak menjelang pilihan raya negeri itu yang akan diadakan tidak lama lagi.

Ahmad berkata, kesepakatan, perubahan dan transformasi untuk penampilan pemimpin pelapis yang dilaksanakan oleh BN Sarawak dan komponen-komponennya akan membawa kemenangan besar.

“Rakyat tentunya menerima dan menyakini transformasi ini dan masa depan akan lebih cerah untuk menikmati pembaharuan dan kemajuan," katanya.

Beliau berharap semua jentera BN yang sudah pun mengikuti kursus parti, dapat menggunakan pengetahuan dan kemahiran mereka untuk bekerja kuat dan memenangi Pilihan Raya Negeri Sarawak.

Beliau berkata, Jabatan Penerangan UMNO akan bekerjasama dengan Penerangan BN Sarawak dan semua jentera penerangan komponen BN di sana untuk berkempen memenangi pilihan raya itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain