suria

Pemuda BN Tumpu Kempen Di Kawasan Calonnya Bertanding - Khairy

KUALA LUMPUR: Pemuda Barisan Nasional (BN) akan memberi tumpuan di kawasan yang akan ditandingi calonnya dan tempat yang dilihat sengit sebagai strategi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak.

Pengerusinya, Khairy Jamaluddin yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata, antara modus operandi kempen yang bakal dijalankan ialah sesi pertemuan dengan pengundi, khususnya golongan muda bagi sesi penerangan melibatkan isu tempatan, semasa dan nasional.

"Kita akan beri tumpuan lebih kepada kawasan-kawasan yang menepati dua kriteria ini melalui kempen Jelajah One Malaysia (JOM), dan sesi perjumpaan dengan belia dan pengundi-pengundi muda.

"Kita juga akan mengambil pendekatan bersepadu di antara pemimpin pusat yang akan membantu kempen-kempen kita, yang diterajui pemimpin Pemuda di Sarawak, kerana mereka lebih arif dengan isu tempatan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda BN di Pusat Dagangan Dunia Putra malam Isnin.

Khairy berkata jentera pilihan raya Pemuda BN akan dilancarkan pada 2 April depan di Kuching dengan diketuai beliau, timbalannya Datuk Razali Ibrahim dan beberapa pemimpin Pemuda parti komponen lain.

Mengulas persiapan bagi menghadapi pilihan raya itu, beliau berkata selain menggunakan pendekatan tradisional, Pemuda BN akan memantapkan lagi kempen melalui media baru seperti Facebook (FB), Twitter dan Blog.

"Pendekatan kempen kita juga meliputi media baru, di mana kita akan guna strategi untuk berkempen dengan media sosial, terutamanya FB dan Twitter.

"Kita tidak akan hanya bergantung kepada kempen tradisi, iaitu perjumpaan biasa..,tetapi kita juga akan berkempen secara aktif melalui medium online untuk memastikan apa saja kita perlu jawab, dapat kita sebar dengan cepat dan pantas," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain