suria

Melayu Perlu Berubah Segera Rebut NKEA

KUALA LUMPUR: Orang Melayu perlu merebut peluang untuk menguasai bidang perniagaan yang terdapat dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) bersama 12 Bidang Utama Ekonomi Nasional (NKEA).

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, bangsa Melayu dan bumiputera perlu meninggalkan sikap negatif dan merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan.

“Melayu tidak akan maju kalau tidak berubah. Sifat-sifat negatif seperti malas mestilah ditukar kepada rajin manakala takut kepada berani menghadapi risiko.

"Nabi Muhammad S.A.W mula belajar berniaga sejak berumur empat tahun. Baginda berpesan sembilan daripada 10 ekonomi adalah perniagaan. Hampir semua urusan pada hari ini melibatkan perniagaan," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Kuala Lumpur, di sini, Selasa.

12 bidang yang perlu direbut itu merangkumi minyak dan gas, sawit dan produk berasas sawit, kewangan (Kuala Lumpur sebagai pusat kewangan antarabangsa), pemborongan dan peruncitan, pelancongan, tekonologi komunikasi dan maklumat, elektrik dan elektronik, pendidikan, perkhidmatan perniagaan, penjagaan kesihatan swasta, pertanian dan The Greater Kuala Lumpur.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, menjelaskan banyak peluang perniagaan akan diwujudkan di dalam bidang The Greater Kuala Lumpur untuk menjadikan Kuala Lumpur antara 20 bandaraya terbaik dunia.

"Oleh itu, akan wujudlah banyak peluang perniagaan. Kontraktor dan usahawan tidak harus bertumpu kepada satu bidang saja sebaliknya rebutlah 12 bidang yang terdapat dalam NKEA.

"Jangan biarkan peluang itu berlalu pergi. Kita perlu menguasai sebahagian daripada pasaran ekonomi sedia ada," jelasnya.

Sementara itu, Ahmad menggesa semua agensi kerajaan termasuk Unit Pembangunan Bumiputera di Kementerian-kementerian, Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), MARA, dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) mempergiatkan usaha mengedar risalah penerangan dan memberi taklimat kepada kaum Bumiputera supaya mereka dapat merebut peluang yang ada di depan mata.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain