suria

Kerajaan Guna Segala Kudrat Tunai Janji

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata apabila kerajaan mengaku untuk melaksanakan sesuatu, ia akan menunaikannya dengan menggunakan segala ikhtiar dan kudrat yang ada.

Malah, kata Perdana Menteri, sebelum berjanji lagi, kerajaan akan memastikan apa yang dinyatakan itu bersifat realistik, dalam kemampuan kerajaan yang wajar, bertanggungjawab dan mengambil kira semua aspek kesejahteraan rakyat serta kepentingan jangka panjang.

"Segala-galanya berlandaskan falsafah induk Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan," katanya semasa berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-12 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sini Selasa.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Najib berkata perbezaan antara parti yang bertanggungjawab dan yang tidak bertanggungjawab boleh dilihat melalui janji yang dibuat kepada rakyat setiap kali menjelang pilihan raya.

Beliau berkata parti yang bertanggungjawab tidak akan semberono mengaku untuk berbuat apa-apapun yang tampak hanya bermanfaat dalam jangka pendek tetapi akan mendatangkan bencana kepada negara serta kesengsaraan kepada rakyat bukan sahaja dalam jangka panjang malah dalam masa terdekat pun boleh dirasa kesan buruknya.

"Pucuk pangkalnya, parti yang bertanggungjawab lebih rela tidak popular untuk jangka pendek daripada membangkrapkan negara dalam jangka panjang.

"Pastinya lagi, parti yang bertanggungjawab tidak sekali-kali akan membenarkan maruah negara dikompromi atau dipertaruhkan. Pendek kata, kerajaan ini tidak sanggup menyaksikan apa yang telah dibina dengan bertatih dan jerih payah selama ini lebur musnah begitu sahaja," katanya.

Beliau berkata dokumen-dokumen janji pelbagai corak "sama ada biru laut, hijau gelap, putih dan terkini jingga yang disogokkan oleh pedagang-pedagang impian" semuanya itu tampaknya dihasil dan dikarang bersandar kepada keseronokan sementara sehingga kadang-kalanya membuatkan segelintir terpegun dan terpedaya kononnya "ada tempayan emas di kaki pelangi".

Najib berkata kerajaan tidak mahu melihat negara terpaksa bergantung kepada ehsan institusi kewangan antarabangsa seperti nasib yang menimpa sesetengah negara menadah tangan meminta-minta pada satu masa nanti, hanya kerana ingin menjadi parti populis untuk seketika.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain