suria

Prosiding Siasat Kematian Teoh Ditangguh Hingga 2 Petang Ini

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock hari ini memaklumkan prosiding ditangguhkan ke sesi petang kerana salah seorang dari panel suruhanjaya itu hadir untuk pemakaman bonda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. Pengerusinya Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen berkata bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman yang juga anggota Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Terengganu tidak dapat menghadiri prosiding pagi Isnin.

"Abdul Kadir perlu berada di Pangkalan Udara Tentera Diraja Malaysia Subang untuk menunggu ketibaan Jenazah almarhum yang dijangka dibawa pulang ke Kuala Terengganu pada pukul 10 pagi ini. Oleh itu prosiding ditangguhkan sehingga 2 petang ini," katanya.

Bonda Yang di-Pertuan Agong, Tengku Ampuan Bahriya Sultan Alam Shah mangkat di Hospital Seri Kota, Kelang, Selangor pada pukul 1.22 pagi tadi.

Selain Foong, suruhanjaya siasatan itu dianggotai bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain