suria

PAS Tidak Yakin Abdul Taib Undur Lepas Pilihan Raya Negeri

PETALING JAYA: PAS tidak yakin Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan berundur selepas pilihan raya negeri itu nanti.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu menganggap keputusan Abdul Taib yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan berundur selepas selesai Pilihan Raya Negeri Sarawak itu hanyalah cakap-cakap politik.

"Pada pandangan saya, kenyataan beliau adalah berdasarkan politik dan tidak yakin beliau akan berundur selepas pilihan raya negeri tidak lama lagi.

"Jika berundur pun saya percaya akan memerlukan satu tempoh sebelum beliau berbuat demikian," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Ahad.

Beliau mengulas kenyataan Abdul Taib yang bersedia untuk berundur dari menerajui negeri itu selepas pilihan raya negeri berkenaan.

Abdul Taib, 75, berkata, beliau serius mencari pemimpin untuk menerajui parti, akan membubarkan Dewan Undangan Negeri pada Isnin, iaitu lima hari sebelum genap 30 tahun beliau menjadi ketua menteri.

Beliau telah menjadi presiden PBB dan ketua menteri sejak 26 Mac 1981.

Sementara itu, Tuan Ibrahim mendakwa, keputusan yang diambil oleh Abdul Taib ekoran daripada beberapa tuduhan yang mengaitkan Ketua Menteri itu membina kekayaan peribadi sepanjang pemerintahannya selama 30 tahun di Sarawak.

Apa pun katanya, keputusan Abdul Taib enggan berundur segera akan memberi kelebihan dan peluang kepada Pakatan Rakyat (PR) untuk meraih undi pada pilihan raya yang dijangka akan diadakan pada April depan.

Beliau berkata, rakyat Sarawak kecewa dengan tindakan Abdul Taib dan pembangunan di negeri itu yang masih tidak berubah dan keputusannya untuk tidak melepaskan jawatan seterusnya mengetuai pilihan raya negeri itu kali ini menyebabkan kemarahan rakyat akan berterusan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain