suria

Kesengsaraan Hidup Warga Emas Dapat Perhatian

GEORGE TOWN: Fatimah Kuppay, 84, yang terlantar sejak 10 tahun lepas kerana menderita sakit urat berterima kasih atas keprihatinan Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) yang sudi membantunya.

Ketika dikunjungi Pengerusi Badan Perhubungan KIMMA Pulau Pinang Faruk Raja Mohamed di rumah sewanya yang serba daif di Jalan Sungai Pinang pada Ahad, wanita itu bersyukur kerana ada pihak yang prihatin dengan nasibnya dan menghulurkan bantuan.

Selain menghulurkan sumbangan barangan keperluan kepada warga emas itu, Faruk berkata pihaknya juga akan membantu membaiki rumah wanita itu yang kini tinggal bersama seorang cucu Mohd Azwan Warshay Ibrahim, 22, yang mengalami kecacatan tangan akibat kemalangan tiga tahun lepas.

Fatimah juga memerlukan bantuan perubatan dan kebajikan yang lain bagi meringankan bebannya, katanya kepada pemberita.

"Sewa rumah ini RM80 sebulan, banyak kerosakan pada rumah ini sejak enam tahun lepas, bumbung bocor dan pintu yang rosak, anak-anak juga tidak dapat bantu kerana mereka juga susah," kata Fatimah yang mempunyai enam orang anak manakala suaminya meninggal dunia 20 tahun lepas.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada Fatimah boleh menghubungi cucunya, Siti Hasnah Hamzah di talian 04-2825110 atau 017-4076773.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain