suria

Jumlah Koperasi Berdaftar Disasar Meningkat Kepada 10,000 Menjelang 2013

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mensasarkan peningkatan bilangan koperasi berdaftar sehingga mencecah 10,000 menjelang tahun 2013.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata, sehingga akhir tahun lepas terdapat 8,146 koperasi berdaftar di seluruh negara dengan jumlah keanggotaan menjangkau lebih 6.6 juta orang.

Katanya, koperasi bukan sahaja mampu bertindak sebagai agen pembangunan sosio ekonomi tetapi juga penyumbang pembangunan ekonomi negara seiring dengan sektor awam dan swasta.

"Sebelum ini, gerakan koperasi hanya menyumbang satu peratus sahaja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dengan sasaran peningkatan bilangan koperasi itu diharap sumbangannya dapat ditingkatkan menjadi lima peratus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada satu persidangan media selepas merasmikan Seminar Koperasi Kredit Wilayah Persekutuan dan menyerahkan Memorandum Persefahaman (MOU) kepada Bank Rakyat sebagai rakan dagang bagi Kad Pelbagai Guna Koperasi (Kad Co-op) di sini, Isnin.

Ismail berkata, gerakan koperasi perlu memainkan peranan dengan memberikan kerjasama penuh kepada usaha yang dijalankan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi mengukuhkan gerakan tersebut.

"Saya berharap agar koperasi melibatkan diri dalam aktiviti ekonomi baru berskala lebih besar, berbudaya keusahawanan berasaskan pengetahuan serta mengaplikasi teknologi moden dan berani menceburi bidang baru yang bernilai tinggi," katanya. Beliau berkata, SKM akan meneruskan pemeriksaan berkala serta menyiasat kes-kes pelanggaran undang-undang bagi memperkukuh integriti dan kebolehpercayaan rakyat terhadap koperasi, pimpinan dan pengurusannya.

Selain itu katanya, SKM juga menyediakan kemudahan pembiayaan bantuan pembangunan dan pinjaman Tabung Modal Pusingan kepada koperasi-koperasi yang mempunyai projek berpotensi untuk dimajukan.

Mengulas mengenai kenaikkan harga ayam sejak akhir-akhir ini, Ismail berkata, kenaikan harga itu tiada kaitan dengan kejadian tsunami yang melanda Jepun kerana Malaysia tidak mengimport ayam dari negara berkenaan.

Beliau berkata, setakat ini kerajaan hanya mengimport makanan laut seperti ikan yang kebanyakannya untuk kegunaan pengusaha restoran makanan Jepun dalam negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain