suria

Gagal Bawa Kemajuan, Pembangkang Akan Ditolak Rakyat Sarawak - Shafie

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yakin rakyat Sarawak akan menolak pembangkang pada pilihan raya negeri Sarawak akan datang.

Beliau berkata ini berikutan kegagalan pakatan pembangkang DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS menunaikan janji untuk membawa kemajuan dan pembangunan di negeri yang ditadbir mereka iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah, dan Kelantan.

Katanya pembangkang yang gemar membawa pelbagai janji manis untuk meraih sokongan, sebenarnya tidak mampu atau berupaya menunaikan janji mereka.

"Kita sedar dan tahu parti lawan ini apabila datang mereka akan janji segala-gala...walhal kita sedar bahawa usaha membangunkan luar bandar ini bukan boleh (dengan) melontar janji-janji manis, tapi perlu diterjemahkan menjadi kenyataan.

"Mereka sudah ditolak di (pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri) Tenang, di Kerdau, kenapa pula rakyat Sarawak mahu menerima mereka," katanya kepada pemberita ketika mengulas mengenai strategi pembangkang dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 akan datang, selepas merasmikan Seminar Pembangunan Daerah 2011 di sini Isnin.

Mohd Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, usaha membangunkan kawasan luar bandar sebenarnya tidak mudah seperti yang disangkakan, bagaimana pun kerajaan pimpinan Barisan Nasional berjaya melaksanakannya.

"Di Sarawak dalam keadaan cabaran yang kita lalui kita telah menyiapkan jalan sejauh 244.47 km dan ini telah memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar," katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata pegawai daerah dan agensi di bawah kementerian perlu sentiasa menjelajah seluruh kampung dan kawasan luar badar di kawasan mereka dan mendampingi masyarakat setempat bagi mengenal pasti masalah sebenar yang dihadapi rakyat.

Katanya, maklumat yang lebih tepat dan jelas mengenai keadaan sebenar yang berlaku di peringkat bawahan akan membantu kerajaan menggubal dasar atau pendekatan perancangan yang lebih baik untuk mengatasi masalah rakyat.

"Jika kita gagal untuk mempunyai maklumat atau pangkalan data yang betul, apa juga yang kita lakukan, ia tidak akan selari dengan apa yang sebenarnya berlaku dan dikehendaki oleh masyarakat di akar umbi," katanya.

Seramai 300 peserta terdiri Setiausaha Kerajaan Negeri, pegawai daerah, para pegawai Pejabat Pembangunan Negeri, Pejabat Pembangunan Persekutuan dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menghadiri seminar itu yang diadakan bagi memberi maklumat mengenai strategi baru dan program kementerian untuk menyokong Model Baru Ekonomi, Program Tranformasi Kerajaan dan Bidang Utama Ekonomi Nasional. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain