suria

Umno Hulu Langat Lancar 'Transformasi 13' Hadapi PRU 13

SEMENYIH: Umno Bahagian Hulu Langat melancarkan 'Transformasi 13' iaitu satu gagasan bagi merangka dan melaksanakan gerak kerja khusus untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Ketuanya, Datuk Johan Abdul Aziz berkata gagasan itu akan dijadikan sebagai garis panduan dan matlamat umum dalam menterjemah setiap perancangan serta strategi parti demi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Hulu Langat dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalamnya.

"Gagasan ini akan mengkaji dan merancang gerak kerja untuk kemenangan di DU NDusun Tua, DUN Kajang, DUN Semenyih dan Parlimen Hulu Langat sendiri," katanya semasa merasmikan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan-Cawangan DUN Semenyih sebelum melancarkan gagasan itu di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Rinching di sini, Sabtu.

Beliau berkata menerusi gagasan itu, segala perancangan, pergerakan, matlamat dan keutamaan dalam gerak kerja perlu sinonim serta selari dengan 10 elemen di bawahnya.

Antara elemen itu ialah menjana pergerakan jentera dalam menarik pemilih baru dengan lebih bersepadu, efisien dan sistematik, meningkatkan nilai murni serta keberkesanan dalam memberi khidmat dan bantuan, selain mendahulukan rakyat dalam setiap tindakan dan mewujudkan ruang serta peluang berinteraksi yang lebih terbuka bagi menawan hati golongan muda.

Beliau berkata gagasan itu turut menggariskan kemenangan parti sebagai matlamat utama UMNO Hulu Langat, dengan menjadikan "masalah dalaman sifar" sebagai keutamaan bagi mengelak sebarang permasalahan dalam merancang dan melaksanakan gerak kerja, selain mempamerkan imej bersih, telus, kesepakatan serta perpaduan yang kukuh kepada masyarakat.

Dalam ucapannya, Johan yang juga Anggota DUN Semenyih, turut menyentuh kepincangan dan masalah dalam pentadbiran kerajaan Selangor pimpinan gabungan parti pembangkang DAP, Parti Keadilan Rakyat dan PAS.

Beliau berkata pelbagai isu mengenai kepincangan tersebut didedahkan anggota parti mereka sendiri yang semakin tidak tahan dengan penipuan pemimpin tertinggi kerajaan negeri itu kepada rakyat.

"Kita lihat pelbagai isu dan masalah di Selangor sejak mereka ambil alih. Isu Yayasan Basmi Kemiskinan, isu air, guna masjid untuk berpolitik, ingkar dengan titah Raja dan sebagainya," katanya.

Johan berkata beliau yakin jika semua anggota Umno di Hulu Langat dapat menterjemah gerak kerja yang digariskan dalam gagasan Transformasi 13, BN bukan sekadar memperoleh kemenangan di kawasan itu, malah boleh membantu menawan semula Selangor.

Pada majlis itu, beliau turut menerima borang penubuhan lima cawangan baru UMNO di DUN Semenyih dengan 400 keanggotaan.- BERNAMAM

Artikel Lain