suria

PM Gembira Dengan Prestasi GTP & Perkhidmatan Awam

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau cukup gembira dengan pencapaian hasil Program Transformasi Kerajaan (GTP) walaupun pada awal ia dilancarkan wujud sikap skeptikal yang agak tinggi.

Beliau berkata kerajaan terkejut gembira mendapati sasarannya telah dicapai dan dalam beberapa hal sasaran melebihi jangkaan.

"Ini merupakan bukti cemerlang terhadap komitmen yang ditunjukkan oleh perkhidmatan awam," katanya dalam wawancara yang disiarkan dalam keluaran terbaru majalah Malaysian Business, dikendali oleh Ketua Pengarangnya, Datuk A. Kadir Jasin; Pengarang Charles Raj; dan Pengarang Berita Gurmeet Kaur.

Perdana Menteri berkata keputusan setakat ini sangat menggalakkan dan "kebanyakan dari apa yang kita janjikan telah ditunaikan".

"Memang tidak diragukan, beberapa matlamat memerlukan jangka masa yang lebih panjang. Sebagai contoh, sementara berlaku beberapa penambahbaikan dalam pengangkutan bandar, dengan peningkatan jumlah penumpang di LRT (sistem transit laju ringan), pembangunan MRT baru (Transit Rel Massa) pula akan mengambil masa," katanya.

Najib berkata "blok bangunan kini siap tersedia, pertama, untuk meredakan kesesakan dan menambahbaik apa yang kita ada pada ketika ini dan, kedua, untuk melaksanakan sistem MRT".

Beliau juga berkata anggota Jawatankuasa Kajian Prestasi Antarabangsa, yang terdiri daripada pakar-pakar perkhidmatan awam dari Amerika Syarikat, UK, Australia, Korea Selatan, Rusia dan Singapura memuji usaha dan hasil yang dicapai oleh kerajaan setakat ini.

"Tahun ini, kita akan terus mengadakan perjumpaan dengan rakyat untuk mendapatkan maklum balas mereka tentang kemungkinan bidang tumpuan baru," katanya.

Tentang apa yang ditunjukkan oleh kajian terbaru mengenai enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Najib berkata dalam jangka masa 12 bulan (Januari-Disember 2010), usaha berkenaan sudah mula menunjukkan hasil positif.

Indeks jenayah menurun sebanyak 15 peratus dan jenayah jalanan turun 35 peratus. Ini dicapai hasli mobilisasi lebih daripada 14,000 pegawai polis ke 50 kawasan panas jenayah.

Selain itu, hampir 5,000 anggota Rela dan JPAM (Jabatan Pertahanan Awam Malaysia) telah ditugaskan ke kawasan panas tersebut.

Perdana Menteri berkata tinjauan oleh Transparency International (TI), Barometer Rasuah Global 2010, menunjukkan penambahbaikan persepsi awam terhadap usaha kerajaan memerangi rasuah.

"Ia menunjukkan 48 peratus daripada rakyat Malaysia berpendapat bahawa usaha kerajaan menentang rasuah berkesan. Ini merupakan peningkatan dari 28 peratus pada 2009.

"Di beberapa bidang, kita telah mengatasi sasaran. Bagi enrolmen pra-sekolah, misalnya, kita mewujudkan 1,500 kelas baru pra-sekolah dengan enrolmen 55,056 kanak-kanak.

"Kemiskinan tegar telah menurun kepada hanya 0.2 peratus menerusi penambahbaikan tahap pendapatan lebih daripada 44,600 isi rumah miskin tegar".

Usaha untuk menambak baik pengangkutan bandar juga menunjukkan hasil positif, dengan penumpang LRT meningkat sebanyak 2.43 juta.

Di kawasan luar bandar juga, pelbagai projek seperti bekalan air bersih, elektrik, jalan luar bandar dan baik pulih rumah untuk golongan miskin, memberi manfaat kepada kira-kira dua juta orang.

"Pencapaian ini adalah hasil usaha gabungan seluruh pegawai kerajaan di semua peringkat.

"Ini menunjukkan bahawa anggota perkhidmatan awam mampu mencapai 'sasaran mustahil' dengan program terperinci," kata Najib, dan menambah penghuraian pencapaian tahunan akan diterbitkan sesuai dengan ikrar untuk bersikap telus.

Perdana Menteri berkata, oleh kerana ramai anggota perkhidmatan awam terlibat dalam Labs (Pemandu), yang menyusun sasaran, "mereka kini berminat melihat mereka menunaikan rancangan dan janji mereka."

"Mereka begitu bersungguh-sungguh dan rajin untuk menentukan sasaran dicapai. Perkhidmatan awam amat menerima baik perubahan yang diperkenalkan bersama GTP," katanya.

Perdana Menteri berkata, sasaran dan tujuan yang digariskan telah membantu menggembleng usaha anggota perkhidmatan awam untuk memenuhi segala janji.

"GTP terbukti menjadi pemangkin utama dan tandaras untuk perkhidmatan awam bekerja lebih kuat dan sebagai sebuah pasukan demi faedah rakyat," tambahnya.

Beliau juga berkata Menteri dan Bidang Keberhasilan Utama Kementerian (MKRA) masing-masing begitu fokus dalam menyampaikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat dan mencapai sasaran yang telah ditetapkan untuk mereka.

Mengenai beberapa cabaran yang dihadapi kerajaan dan bagaimana mengatasinya, Najib berkata: "Sikap skeptikal dan keraguan orang ramai adalah cabaran terbesar. Kita harus bekerja kuat untuk menyampaikan hasil yang dijanjikan.

"Sebaik saja mereka melihat manfaat daripada pengangkutan awam yang lebih baik, ketelusan lebih luas, kadar jenayah lebih rendah, mereka akan yakin bahawa kerajaan mengotakan apa yang dikatakannya.

"Kerajaan juga tidak mengabaikan pandangan negatif. Kita berusaha untuk mengatasi dan menjawab sebanyak mungkin pertanyaan. Pemandu akan terus menyelesaikan aduan dan memberi perhatian.

"Beberapa kejayaan telah dicapai, dengan beberapa pihak yang menentang dan bersikap skeptikal mula menghargai hasil yang dicapai." - BERNAMA

Artikel Lain