suria

Isu Wifi: Kerajaan Pulau Pinang Digesa Bersikap Adil

GEORGE TOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP digesa bersikap adil kepada semua rakyat dalam melaksanakan perkhidmatan jalur lebar Wifi secara percuma.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pelaksanaan perkhidmatan itu perlu diberikan percuma kepada semua kawasan di seluruh negeri itu tanpa mengira fahaman politik.

Beliau berkata kerajaan negeri itu sepatutnya mengutamakan kepentingan rakyat, bukan keperluan pemimpin parti.

"Tidak sepatutnya diletakkan di kawasan pemimpin DAP sahaja dan membelakangkan masyarakat di luar kawasan mereka, ia tidak wajar dengan memberi keutamaan di kawasan Tanjung, Batu Kawan, Bayan Baru, bagaimana keadilan kepada masyarakat di kawasan lain," katanya ketika mengulas laporan bahawa perkhidmatan jalur lebar tidak akan disediakan di kawasan bukan di bawah Pakatan Rakyat kerana kekurangan peruntukan.

Ahmad Shabery berkata tindakan itu bercanggah dengan prinsip Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu 'Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.

"Ini jelas membuktikan tembelang DAP kerana memberikan keutamaan kepada parti DAP sahaja, berbanding kerajaan pusat pimpinan Barisan Nasional (BN) yang menjaga keperluan dan kepentingan semua rakyat.

"Kami sedia memberikan perkhidmatan kepada semua tanpa membezakan fahaman politik dan kaum di seluruh negara, termasuk negeri di bawah pemerintahan pembangkang," katanya.

Beliau berkata jika kerajaan Persekutuan pimpinan BN bersikap pilih kasih, Pulau Pinang tidak akan mendapat peruntukan bagi membina jambatan kedua atau melaksanakan projek menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas.

Pandangan Ahmad Shabery dikongsi Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen yang kecewa dengan laporan akhbar itu.

"Kami tidak pernah memberikan layanan yang berbeza kepada negeri di bawah pemerintahan pembangkang dengan negeri di bawah BN. Peruntukan yang diberikan kepada projek menaik taraf kereta api Bukit Bendera di sini adalah antara projek yang terbesar dalam Rancangan Malaysia Ke-9, yang bernilai RM73 juta," katanya.

Beliau berkata Ketua Menteri Lim Guan Eng telah dimaklumkan mengenai isu itu, yang dilihat kurang adil kepada rakyat.

"Ketika majlis penyerahan projek menaik taraf kereta api Bukit Bendera awal pagi tadi, saya telah memberitahu Guan Eng dan beliau berkata akan meneliti isu tersebut," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain