suria

DEB Bantu Bumiputera Dalam Pelaburan Modal, Kata Mustapa Mohamed

KOTA BHARU: Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan sejak 1971 telah berjaya meningkatkan pelaburan modal bumiputera dalam syarikat berhad walaupun tidak mencapai sasaran 30 peratus.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata tanpa dasar itu, penyertaan 22 peratus sekarang tidak akan dicapai.

"Berbanding pada waktu dulu 1971, bumiputera hanya mempunyai dua peratus pegangan dalam syarikat berhad," katanya berucap pada seminar 'Meningkatkan Penyertaan Bumiputera Dalam Pasaran Modal', di sini Ahad.

Mustapa berkata kementeriannya kekal komited untuk meningkatkan penyertaan bumiputera dalam pasaran modal, terutama dalam syarikat berhad.

Beliau turut menyentuh langkah terbaru mengetatkan syarat memiliki kad kredit yang pada beliau mengekang sikap berbelanja melebihi kemampuan.

"Ia juga menggalakkan rakyat agar menyimpan di dalam skim pelaburan untuk kepentingan mereka di masa tua dan demi masa jangka panjang," katanya.

Bank Negara Malaysia pada Jumaat mengumumkan peraturan baru yang berkuat kuasa serta-merta bagi pemilikan kad kredit, yang antara lain mensyaratkan pendapatan tahunan minimum RM24,000 berbanding RM18,000 sebelum ini untuk permohonan baru.

Bagi para pemegang kad yang berpendapatan RM36,000 setahun atau kurang, mereka hanya boleh memiliki kad kredit daripada dua pengeluar kad sahaja. - BERNAMA

Artikel Lain