suria

Penumpang Dari Jepun Lalui Proses Pemeriksaan Radioaktif Di KLIA

KUDAT: Penumpang yang tiba dengan penerbangan terus dari Jepun di lapangan terbang utama negara ini akan melalui pemeriksaan mengesan tahap radioaktif, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri.

Beliau berkata pemeriksaan ke atas penumpang Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), AirAsia dan syarikat penerbangan Jepun sudah bermula di Lapangan Terbang Antarabangsa KL sejak 16 Mac, manakala di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu bermula semalam membabitkan penerbangan tambang murah.

"Mereka yang didapati tercemar radioaktif akan melalui proses 'decontamination' oleh agensi bertauliah dalam bidang ini iaitu agensi perlesenan nuklear dan tenaga atom Kementerian Sains Teknologi dan Alam Sekitar dengan bantuan pihak keselamatan Malaysia Airports Berhad," katanya di sini, Sabtu.

Abdul Rahim berkata pemeriksaan juga dilakukan terhadap pesawat yang tiba dari Jepun.

"Pemeriksaan ini juga meliputi pesawat sewa khas atau charter dan pesawat yang disyaki sekiranya perlu," katanya yang ditemui selepas merasmikan Program Masyarakat Penyayang (Mayang) yang mengagihkan bantuan 1Azam berupa bantal dan tilam kepada penduduk miskin.

Abdul Rahim berkata setakat ini, penerbangan MAS ke Tokyo serta destinasi lain di Jepun belum terjejas, dan memberi peluang kepada rakyat Malaysia yang berhasrat balik ke tanah air menggunakan penerbangan itu. - BERNAMA

Artikel Lain