suria

Harga Santan Semakin Mahal Di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Orang ramai terutama peniaga makanan di negeri ini meminta pihak berkenaan mengambil langkah segera menyelesaikan masalah harga santan yang semakin mahal.

Ini berikutan harga kelapa di negeri ini kini meningkat kepada RM1.70 sebiji manakala santan dijual pada harga RM7 hingga RM8 sekilogram berbanding RM4 sebelum ini.

Seorang peniaga nasi dagang yang hanya mahu dikenali sebagai Mek Yam, 50, berkata keadaan itu membebankan peniaga sepertinya yang banyak menggunakan santan dalam masakan.

"Saya terpaksa menaikkan harga jualan nasi dagang kerana tidak lagi dapat menampung kos yang semakin mahal," katanya kepada Bernama, di sini.

Peniaga nasi lemak, Habsah Ali, 42, pula berkata kenaikan harga kelapa telah menyebabkan kos pembuatan nasi lemak kini naik hampir sekali ganda.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Terengganu Hasan Jusoh berkata kenaikan harga kelapa banyak bergantung kepada bekalan dan antara faktor yang menyumbang kepada masalah itu ialah pekebun kini lebih suka menjual kelapa muda kerana harganya lebih tinggi.

Katanya bekalan kelapa di Terengganu sekarang ini memang berkurangan dan untuk menampung kekurangan itu, Fama mengimport kelapa dari Indonesia sebanyak 15 tan seminggu.

Katanya harga kelapa sekarang ini tidak stabil iaitu antara RM1.20 hingga RM1.70 sebiji. - BERNAMA

Artikel Lain