suria

DUN Negeri Sarawak Bubar Isnin Ini, Umum Taib

KUCHING: Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubar Isnin ini bagi membolehkan pilihan raya negeri ke-10 diadakan, demikian diumumkan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Sabtu.

Taib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata beliau telah mengunjungi Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng pada Khamis lepas bagi mendapatkan persetujuannya untuk membubarkan dewan.

"Notis pewartaannya akan dibuat pada 21 Mac," katanya pada sidang akhbar bersama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada akhir lawatan dua pemimpin tertinggi pusat itu ke Sarawak di bawah program turun padang ke seluruh negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memutuskan tarikh penamaan calon dan pengundian, katanya menamatkan teka teki sejak berbulan-bulan mengenai tarikh pilihan raya negeri.

Dewan Undangan Negeri Sarawak dengan 71 anggota sedia ada akan tamat pada 23 Julai ini. Pilihan raya negeri yang lepas diadakan pada 20 Mei, 2006. - BERNAMA

Artikel Lain