suria

Undangan Kepada Isteri PM Ke Luar Negara Satu Pengiktirafan

KUALA LUMPUR: Undangan kepada isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor untuk menyampaikan ucaptama di luar negara seharusnya dilihat sebagai pengiktirafan dan penghormatan kepada negara, persidangan Dewan Rakyat diberitahu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata ia adalah pengiktirafan kepada Malaysia sebagai antara negara Islam atau anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang mempunyai dasar, strategi dan pelaksanaan terbaik dalam bidang pendidikan, pendidikan awal dan penjagaan kanak-kanak, pembangunan wanita serta kebajikan.

Mohamed Nazri berkata lawatan isteri Perdana Menteri ke luar negara termasuk menyampaikan ucaptama di Seminar Kepemimpinan Wanita di Dubai dan Forum Wanita ASEAN di Singapura pada 2009 serta Seminar Antarabangsa Pertama mengenai Pengurusan Kualiti Pendidikan K-12, atas jemputan Timbalan Menteri Pelajaran Arab Saudi di Riyadh, Arab Saudi, Januari lepas.

"Selain itu, beliau menerima undangan daripada Menteri Pembangunan Sosial Oman di Muscat dan Penaung di Asian University for Women, Madam Cherie Blair dan menyampaikan ucaptama di Simposium 'Memikirkan Masa Hadapan Asia: Idea dan Hala Tuju Ke Arah Perubahan' di Dhaka, Bangladesh, Januari lepas," katanya menjawab soalan Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak).

Tajuddin ingin tahu mengenai peranan dan sumbangan Wanita Pertama kepada negara melalui beberapa siri lawatan ke luar negara.

Menjawab soalan tambahan Tajuddin mengenai tindakan kerajaan untuk memperjelaskan persepsi negatif pihak tertentu termasuk pembangkang mengenai lawatan itu, Mohamed Nazri berkata segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan akan dijawab dalam Dewan Rakyat.

"Dalam Dewan kita tidak boleh tipu. Jadi, kalau ada yang mahu bertanya, tanya dalam Dewan jika betul-betul mahu maklumat dan bukan fitnah di kedai kopi," katanya.

Menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) mengenai bidang kuasa Wanita Pertama yang didakwa mencampuri urusan negara termasuk kenyataan berhubung kejadian tsunami di Jepun, Mohamed Nazri berkata perkara itu tidak benar sama sekali.

"Siapa cakap ni? Ini fitnah, tohmahan dan menipu. Saya nak Rantau Panjang beritahu dalam kes tertentu, di mana yang berlaku campur tangan urusan.

"Selain itu, kita perlu baca sepenuhnya kenyataan Wanita Pertama kita (berhubung isu tsunami), bukan sekerat-sekerat dan (kemudian) dakwa macam-macam," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain