suria

PDRM Ucap Takziah Kepada Keluarga Pelatih Pulapol

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd Redzuan Ishak, pelatih inspektor di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak di sini yang meninggal dunia pagi tadi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat jangkitan Adenovirus.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Hussin Ismail berkata PDRM turut berkongsi rasa sedih di atas kematian Mohd Redzuan, 26.

"Takziah saya ucapkan kepada keluarga Mohd Redzuan di atas pemergiannya dan saya berharap mereka dapat bersabar atas perkara tersebut. Kami turut berkongsi kesedihan ini," katanya kepada pemberita di HKL pada Khamis.

Beliau berkata kini seramai 32 orang pelatih masih dirawat di wad biasa HKL sementara seorang pelatih di Unit Rawatan Rapi HKL.

"Seramai 534 pelatih masih lagi diasingkan dari kawasan luar Pulapol dan latihan yang sepatutnya mereka jalani masih lagi digantung," tambahnya.

Hussin berkata pihaknya belum dapat menjangka bila Pulapol akan dibuka semula dan mula beroperasi bagi pelatih menjalani latihan.

"Kita tak dapat jangka bila akan beroperasi semula dan kita sekarang tengah pantau perkara tersebut," katanya.

Bapa kepada Mohd Redzuan, Ishak Daharin, 48, berkata Allahyarham merupakan seorang anak yang baik dan bercita-cita tinggi di dalam bidang kepolisian sehingga boleh menjadi Ketua Polis Negara.

Ishak, jurukamera di stesen TV Astro, berkata anaknya itu sanggup meletak jawatan sebagai eksekutif di sebuah syarikat minyak dan gas dengan gaji yang lumayan semata-mata mahu menjadi pegawai polis.

Adik Allahyarham, Farah Nurhuda, 23, juga menyifatkan abangnya sebagai seorang abang yang baik dan selalu menolong mereka adik-beradik.

"Abang selalu sahaja membantu kami terutama dari sudut kewangan. Walaupun beliau bekerja dan belajar separuh masa dalam jurusan perniagaan antarabangsa, beliau tidak pernah meminta wang daripada ayah, sebaliknya membantu sering kami," katanya.

Tunang Allahyarham, Nurhazwani Liyana, 23, berkata kali terakhir beliau bertemu dengan Mohd Redzuan, Allahyarham ada mengatakan beliau perlu membuat keputusan sendiri sekiranya Allahyarham tiada lagi bersama dengannya.

"Beliau sering mengulang ayat itu selain daripada mengingatkan agar saya menjaga diri baik-baik sewaktu ketiadaannya," kata Nurhazwani. -BERNAMA

Artikel Lain