suria

MITI Tolak Dakwaan Selangor, Pulau Pinang Nikmati FDI Tinggi Sejak Pembangkang Ambil Alih

KUCHING: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menolak dakwaan bahawa Selangor dan Pulau Pinang menikmati jumlah Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang tinggi sejak ia mengambil alih pentadbiran kedua-dua negeri itu pada 2008.

Timbalan Menterinya, Datuk Jacob Dungau Sagan, berkata sebab utama FDI terus mencurah masuk ke kedua-dua negeri itu ialah usaha jangka panjang Kerajaan Pusat selama lebih 40 tahun yang mengadakan dasar-dasar mesra pelabur, mengadakan prasarana asas, mengekalkan kestabilan politik serta menawarkan tenaga kerja yang mudah dilatih, perlindungan bagi pelabur dan dasar-dasar pelaburan yang liberal.

"Selangor dan Pulau Pinang telah mendapat manfaat hasil daripada faktor-faktor ini yang diwujudkan oleh Kerajaan Persekutuan dan bukan seperti yang didakwa oleh kedua-dua kerajaan negeri itu," katanya pada satu sidang akhbar di sini Jumaat.

Contohnya di Selangor bagi tempoh dari 2006 hingga 2010 sejumlah 1,534 projek telah diluluskan dengan pelaburan berjumlah RM45.8 bilion yang, RM24.6 bilion atau 53.7 peratus daripadanya adalah pelaburan asing dan RM21.2 bilion atau 46.3 peratus pelaburan domestik.

Di Pulau Pinang, pelaburan berjumlah RM34.7 bilion telah diluluskan melalui 673 projek yang RM24.1 bilion atau 69.5 peratus daripadanya adalah pelaburan asing, manakala RM10.6 bilion atau 30.5 peratus adalah pelaburan domestik, tegasnya.

Jacob berkata kesemua FDI ini dibuat sejurus sebelum pembangkang mengambil alih kedua-dua negeri itu daripada Barisan Nasional (BN) dan sebab utama jumlah pelaburan asing konsisten ialah usaha yang dijalankan oleh Kerajaan Persekutuan.

Di Sarawak, sebanyak dua projek diluluskan bagi tahun ini setakat Januari dengan pelaburan berjumlah RM187.7 juta dalam industri produk logam asas, kayu dan produk kayu.

Tahun lepas sebanyak 43 projek diluluskan dengan pelaburan berjumlah RM3.95 bilion di Sarawak yang, RM3.55 bilion atau 90.1 peratus daripadanya adalah pelaburan asing dan RM0.4 bilion atau 9.9 peratus merupakan pelaburan domestik. Pelaburan-pelaburan ini mewujudkan sejumlah 7,083 pekerjaan.

Dari sudut FDI, Sarawak menduduki tempat kelima selepas Kedah, Pulau Pinang, Johor dan Selangor. - BERNAMA

Artikel Lain