suria

Kes Bi-Anne: Mahkamah Tolak Rayuan Penjaga ad Litem

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menolak permohonan pekerja sosial B.Vijayakumari G.A. Pillai untuk dilantik sebagai penjaga ad Litem kepada Low Bi-Anne, budak perempuan berumur 11 tahun yang kini terperangkap dalam perebutan hak penjagaan antara kedua ibu bapanya.

Peguam Jagjit Singh yang mewakili Vijayakumari menarik balik permohonan selepas hakim Hakim Datuk K.N.Segara yang mengetuai panel tiga hakim menjelaskan terdapat soal mengenai teknikal undang- undang dalam notis usul yang difailkan pada 15 Mac tahun ini.

Segara, yang bersidang bersama Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad dan Datuk Abdul Wahab Patail telah menyoal Jagjit berhubung prosedur dan peruntukan undang-undang apa permohonan itu dibuat.

Mengikut undang-undang, seorang penjaga ad litem perlu dilantik bagi membolehkan seseorang kanak-kanak mendapat hak atau locus standi untuk hadir serta mengambil bahagian dalam prosiding mahkamah.

Seorang penjaga ad Litem merupakan seorang sukarelawan yang dilantik mahkamah bagi melindungi hak dan membela kepentingan seseorang kanak-kanak yang terbabit dalam prosiding mahkamah.

Vijayakumari, 60, gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi. Beliau memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan yang kini belum selesai.

Bi-Anne mahukan hak bersuara dalam enam rayuan berhubung hak penjagaan dirinya yang ditetapkan untuk pendengaran pada 22 Mac.

Rayuan itu antara lain, Mahkamah keluarga membenarkan ibu Bi-Anne, Tan Siew Siew, 37, pengurus restoran di London, membawa budak perempuan itu (Bi-Anne) ke Britain; memerintahkan penyerahan pasport budak perempuan itu; menolak hak akses sementara bapanya, Low Swee Siong ke atas budak perempuan itu; dan mendapati dan mensabitkan Swee Siong bagi kesalahan menghina mahkamah dan enggan memberikan perintah penangguhan.

Swee Siong, 40, perunding hartanah dan Tan berkahwin pada tahun 1999 dan bercerai pada 2006, dengan hak jagaan Bi-Anne diberikan kepada bapanya.

Dua tahun kemudian, Tan memohon dan berjaya mendapatkan hak menjaga Bi-Anne manakala Low diberikan akses untuk melawat anaknya.

Bagaimanapun, Bi-Anne enggan mengikut Tan, sebaliknya berkeras mahu tinggal bersama bapanya.

Pada 28 Januari tahun ini, ibu bapa Bi-Anne gagal menyelesaikan secara baik melalui perantara berhubung hak penjagaan budak perempuan itu.

Pada 13 September tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendenda Swee Siong RM20,000 dan RM400 bagi setiap hari lewat dalam penyerahan budak perempuan itu kepada Tan, kerana kesalahan tidak mematuhi perintah mahkamah supaya beliau menyerahkan Bi-Anne kepada bekas isterinya itu.

Mahkamah Rayuan juga menangguhkan sementara pembayaran denda RM400 dan juga ke atas keputusan Mahkamah Keluarga membenarkan ibu Bi-Anne membawanya ke Britain berkuatkuasa 3 hingga 22 Mac, pada hari rayuannya ditetapkan untuk pendengaran.

Di luar mahkamah, Jagjit berkata beliau akan memfailkan semula permohonan itu secepat mungkin mengikut prosedur yang betul dan akan memastikan permohonan itu didengar pada 22 Mac, pada hari sama rayuan itu dijangka didengar.

Jagjit berkata beliau memutuskan untuk mengambil tindakan berasingan untuk memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan kerana faktor masa, memandangkan pendengaran rayuan itu ditetapkan Selasa depan.

Peguam Pushpa Ratnam mewakili Swee Siong. - BERNAMA

Artikel Lain