suria

Kerajaan Tanggung Kos Bawa Balik Rakyat Malaysia Di Jepun

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia menampung kos bagi membawa balik 293 rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan yang terjejas teruk akibat gempa bumi dan tsunami di Jepun, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman. Mereka yang terlibat adalah penuntut dan rakyat Malaysia yang bekerja di empat kawasan iaitu Fukushima, Iwate, Miyagi dan Ibaraki, katanya.

Beliau berkata jumlah mereka yang terlibat mengikut kawasan ialah Fukushima seramai 39 orang, Iwate (29 orang), Miyagi (60 orang) dan Ibaraki (165 orang).

"Bagaimanapun bagi mereka yang tinggal di kawasan yang tidak terjejas, harus menanggung sendiri harga tiket jika ingin pulang ke Malaysia.

"Tetapi sekiranya keadaan meruncing dan memaksa kita untuk membawa keluar semua rakyat kita di sana, kerajaan akan menimbang keperluan tersebut (menanggung tiket)," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Khamis.

Anifah berkata setakat ini 50 orang rakyat Malaysia dari kawasan yang terjejas teruk itu telah mengesahkan untuk pulang dan dijangka tiba di tanah air dalam masa dua hari.

Beliau turut mengulangi nasihatnya kepada mana-mana rakyat Malaysia yang ingin pulang agar memaklumkan kepada Kedutaan Malaysia di Tokyo sebelum berlepas pulang.

"Kita juga telah berunding dengan Malaysia Airline (MAS) agar memberi keutamaan 150 tempat duduk kepada rakyat Malaysia yang mahu pulang ke tanah air," katanya.

Mengulas mengenai tahap radiasi di loji nuklear Fukushima, seperti yang dimaklumkan oleh pihak berkuasa Jepun, Anifah berkata ia masih terkawal dan tidak membahayakan penduduk di kawasan luar dari Fukushima.

"Kerajaan Jepun bagaimana pun telah mengarahkan penduduk di kawasan tersebut agar berpindah jauh dari 20 kilometer radius bagi mengelak risiko radiasi jika keadaan di loji tersebut tidak terkawal," katanya.

Bagaimanapun, katanya, tiada rakyat Malaysia yang dikesan tinggal dalam lingkungan 20 kilometer radius dari loji tenaga nuklear Fukushima.

Ditanya adakah kemungkinan operasi menyamai Ops Piramid akan dijalankan bagi membawa keluar rakyat Malaysia, beliau berkata ia tidak akan dilakukan sehingga kerajaan Jepun mengeluarkan amaran supaya membawa keluar semua rakyat Malaysia.

Terdahulu Anifah ketika menggulung perbahasan usul takziah dan simpati kepada kerajaan dan rakyat Jepun atas tragedi pada 11 Mac itu berkata, setakat pukul 9 pagi ini, Kedutaan Malaysia di Tokyo memaklumkan bahawa terdapat 1,690 rakyat Malaysia masih di Jepun dan disahkan selamat.

"Oleh itu jika ada teman Yang Berhomat yang menghubungi secara langsung, sila maklumkan dan saya akan maklumkan kepada kedutaan supaya mereka ini boleh dihubungi dan dibantu untuk dibawa balik ke negara ini," katanya menjawab celahan Tian Chua (PKR-Batu).

Usul berkenaan dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pagi tadi dan dibahaskan oleh sembilan anggota Parlimen sebelum diluluskan sebulat suara petang ini. -BERNAMA

Artikel Lain