suria

Polis Sahkan Rampas Dua Kontena Dipercayai Peralatan Membuat Senjata

PELABUHAN KLANG: Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar pada Khamis mengesahkan penahanan sebuah kapal dan rampasan dua kontena dipercayai membawa peralatan membuat senjata yang berlabuh di Pelabuhan Barat di sini baru-baru ini.

Beliau berkata kapal berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari China dan menuju ke Iran dan telah diperiksa oleh sepasukan polis yang mendapat maklumat mengenainya ketika kapal itu transit di Pelabuhan Barat.

"Kita percaya peralatan yang dibawa di dalam kontena terbabit ialah dandang (boiler) tetapi masih menunggu siasatan lanjut. Maklumat mendapati ia merupakan barang dari China untuk dihantar ke Iran.

"Walau bagaimanapun, siasatan terperinci sedang dijalankan termasuk mendapatkan maklumat dari pakar yang relevan dan Interpol," katanya dalam sidang media selepas majlis penerimaan Geran Bantuan Penambahbaik Keselamatan Maritim Malaysia dari kerajaan Jepun di sini, Khamis.

Ismail berkata siasatan terhadap dua kontena berkenaan dibuat mengikut Akta Perdagangan Strategik 2010 (STA) iaitu akta yang diperkenalkan bagi mengekang percambahan senjata pemusnah besar-besaran (WMD).

Beliau berkata kesemua anak kapal berkenaan juga telah disoal siasat bagi mendapatkan maklumat berhubung perjalanan dan muatan kapal berkenaan. Katanya, kapal berkenaan bagaimanapun meneruskan perjalanannya tetapi kontena terbabit dirampas untuk siasatan lanjut.

"Kita juga sedang meneliti lesen perkapalan dan melihat destinasi serta lokasi asal perjalanan kapal terbabit dengan pihak berkaitan," katanya.

Ismail turut meminta supaya tiada pihak membuat sebarang kesimpulan memandangkan perkara itu masih dalam proses siasatan.

Ditanya adakah tindakan pengawasan di sekitar kawasan perairan negara akan dipertingkatkan berhubung insiden itu, beliau berkata penahanan kapal berkenaan bukti perairan negara sentiasa diawasi.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata rampasan dua kontena itu dibuat dari sebuah kapal yang berdaftar di Malaysia dan berlabuh kira-kira 10 hari lepas.

Beliau berkata siasatan sedang dilakukan oleh sebuah pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Bukit Aman termasuk mengambil keterangan lebih 20 orang krew kapal terbabit.

"Kita masih menanti tindakan pengesahan terhadap alatan yang dibawa kerana ia terkandung dalam jadual di bawah STA di mana ada sebab untuk kita siasat peralatan terbabit. Jadi siasatan sedang dibuat," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain