suria

Pemeriksaan Ketat Ke Atas Produk Makanan Dari Jepun

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan mengenakan pemeriksaan tahap lima iaitu Tahan-Uji-Lepas terhadap produk makanan yang diimport dari Jepun berikutan berlaku beberapa siri letupan loji tenaga nuklear di negara itu ekoran gempa bumi dan tsunami.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tong Lai berkata, pemantauan ketat itu harus dilakukan kerana letupan yang berlaku itu dikhuatiri menyebarkan bahan radioaktif yang berlebihan dan boleh menyebabkan kanser dalam jangka masa panjang.

Justeru itu beliau berkata, sampel-sampel makanan akan diambil daripada pintu masuk negara untuk ujian pencemaran bahan radioaktif di Agensi Nuklear Malaysia dan konsaimen makanan itu hanya akan dilepaskan sekiranya ia mematuhi tahap radioaktif yang ditetapkan oleh 'Codex Alimenterius Commission'.

"Antara produk-produk makanan itu termasuk buah-buahan, sayur-sayuran, ikan dan hasilan ikan serta hasilan daging dan sebagainya," katanya dalam satu kenyataan di sini Rabu.

Bermula 15 April ini, katanya, Kementerian Kesihatan akan mengenakan keperluan Sijil Radioaktif yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa di Jepun, ke atas semua produk makanan negara itu sebagai jaminan keselamatan makanan.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan akan mendapat kerjasama agensi yang berkenaan seperti Agensi Nuklear Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, pihak pengimport dan agen penghantaran bagi memastikan keselamatan makanan yang diimport dari Jepun. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain