suria

Malaysiakini Gagal Batal Saman Fitnah Taib Mahmud

KUALA LUMPUR: Portal berita Malaysiakini gagal membatalkan saman fitnah terhadapnya yang difailkan oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud setelah Mahkamah Tinggi di sini, Khamis menolak permohonan plaintif.

Hakim Datuk John Louis O'hara ketika membuat keputusan berkata setelah beliau mendengar hujah-hujah defendan, mahkamah mendapati isu perlembagaan yang dibangkitkan oleh Malaysiakini bahawa tidak ada tindakan adalah tidak berasas dan ia bukan menyalahgunakan proses mahkamah.

O'hara berkata beliau membuat keputusan itu setelah mengkaji peruntukan Akta Fitnah dan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga memerintahkan Mkini Dotcom yang memiliki portal berita itu membayar kos RM10,000 kepada Abdul Taib.

Bagaimanapun, hakim itu tidak menetapkan tarikh untuk saman tersebut didengar. Pada 2007, Abdul Taib memfailkan saman itu setelah portal berita dalam talian itu menyiarkan 12 siri artikel dari 6 April hingga 3 Mei, 2007 yang beliau dakwa mengandungi perkataan memfitnah terhadapnya.

Mkini Dotcom diwakili peguam K. Shanmuga dan Fahri Azzat sementara peguam Yee Mei Ken untuk Abdul Taib.

Dalam kenyataan dakwaan, Abdul Taib menamakan Mkini Dotcom dan ketua pengarang Malaysiakini Gan Diong Keng, juga dikenali sebagai Steven Gan, sebagai defendan.

Beliau berkata perkataan memfitnah dalam artikel itu bagi makna biasa difahami antara lain bahawa beliau memiliki wang haram sebanyak RM32 juta hasil daripada aktiviti salah berkaitan perdagangan balak di Sarawak dan telah melakukan kesalahan jenayah dan boleh dikenakan pendakwaaan jenayah.

Abdul Taib berkata beliau telah mengarahkan peguamnya untuk mengeluarkan sepucuk surat memohon kepada defendan, tetapi mereka gagal dan enggan mematuhi terma-terma surat berkenaan.

Beliau memohon ganti rugi kerana menyebabkan kemudaratan teruk, faedah, kos dan relif lain yang mahkamah fikirkan munasabah.

Defendan ketika menjawab kenyataan pembelaan menyatakan bahawa perkataan dalam artikel itu disiarkan kerana keistimewaan kelayakan.

Kenyataan itu menyatakan bahawa plaintif telah meakuiesens dalam penerbitan artikel itu dan mengeluarkan lagi perkataan dan perkara yang diadukan dengan cara kenyataan peribadi kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 24 Mei, 2007.

Mereka mendakwa bahawa kenyataan peribadi itu kemudiannya dikeluarkan lagi sepenuhnya oleh akhbar yang mempunyai edaran tertinggi di Sarawak, The Borneo Post, pada 15 Mei, 2007. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain