suria

Mahkamah Tolak Permohonan Victoria Untuk Jadi Peguam Syarie

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di sini pada Khamis menolak permohonan seorang peguam wanita bukan Islam, Victoria Jayaseele Martin, untuk menjadi seorang peguam syarie di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.

Hakim Datuk Rohana Yusuf menolak permohonan yang difailkan oleh Victoria pada 19 Mei tahun lepas untuk semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menolak permohonannya untuk menjadi peguam syarie.

Dalam penghakimannya, Rohana berkata MAIWP mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk mengeluarkan syarat mengenai pelantikan peguam syarie di mana syarat berkenaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"Parlimen memberi kuasa kepada MAIWP untuk membuat syarat-syarat mengenai kemasukan peguam syarie iaitu prosedur, kelayakan dan pembayaran dan kuasa yang diberikan adalah sangat luas," katanya.

MAIWP mempunyai kuasa untuk berbuat demikian seperti mana dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993, katanya.

Victoria, 49, yang memperoleh Diploma dalam Undang-undang Syariah dan Amalan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 2004, telah memohon tindakan undang-undang di mahkamah sivil setelah permohonan beliau untuk diterima sebagai peguam syarie ditolak oleh MAIWP. Dalam permohonan itu, Victoria, yang diwakili peguam Ranjit Singh menamakan MAIWP sebagai defendan.

MAIWP diwakili peguam Sulaiman Abdullah.

Beliau memohon satu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan MAIWP melalui jawatankuasa peguam syarie menafikan permohonannya untuk diterima sebagai peguam syarie.

Antara lain, Victoria, mahu satu perintah mandamus untuk meminta MAIWP menerima beliau sebagai peguam syarie.

Beliau juga meminta satu pengisytiharan bahawa Perintah 10 Peraturan Peguam Syarie 1993, memberikan mandat bahawa hanya orang Islam boleh diterima sebagai peguam syarie, bercanggah dengan Artikel 5, 8, dan 10 Perlembagaan Persekutuan.

Pada 14 Mei tahun lepas, beliau mendapat kebenaran daripada Mahkamah Tinggi dalam perundangan permulaan untuk memohon menjadi peguam syarie di Wilayah Persekutuan selepas Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh membenarkan permohonan beliau untuk semakan kehakiman.

Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, satu keperluan utama untuk menjadi seorang peguam syarie ialah seseorang itu mesti beragama Islam. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain