suria

Dalang Kes Palsu Dokumen Guna Nama MB Perak Dikenal Pasti - Polis

IPOH: Polis percaya dapat menyelesaikan kes penipuan dan pemalsuan dokumen kelulusan tanah yang menggunakan nama Menteri Besar dan jabatan kerajaan negeri Perak dalam masa terdekat.

Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahalan, berkata polis telah mengenal pasti dalang dalam kes itu dan sedang menunggu masa untuk memberkas suspek yang telah berpindah ke tempat lain.

"Hasil siasatan, polis telah mengesan alamat tempat tinggal suspek terbabit tetapi tidak ditemui kerana dipercayai telah melarikan diri," katanya pada sidang akhbar di sini, Khamis.

Pada 7 Februari lepas, Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Datuk Azhar Ahmad, membuat dua laporan polis selepas menerima dua surat menggunakan kepala surat Menteri Besar dan mempunyai tanda tangannya berhubung kelulusan tanah pertanian di dua lokasi oleh kerajaan negeri.

Surat pertama membabitkan kelulusan tanah pertanian seluas kira-kira 324 hektar di Mukim Kenering bertarikh pada 9 Disember lalu manakala surat kedua dengan menggunakan modus operandi sama membabitkan kelulusan tanah seluas kira-kira 400 hektar di Mukim Pengkalan Hulu yang dikeluarkan pada 13 Januari lalu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain