Tukang Urut Maut Ditikam Dalam Kejadian Samun - Semasa | mStar

Tukang Urut Maut Ditikam Dalam Kejadian Samun

JOHOR BARU: Seorang tukang urut maut manakala anak angkatnya cedera parah selepas ditikam dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Sri Serdang Baru, di sini, Rabu.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, Demah Cinak, 43, ditikam dengan pisau di bahagian perut manakala anak angkatnya Mahmudah, berusia lewat 20an ditikam di belakang badan dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang.

"Ketika kejadian kedua-dua wanita itu berada dalam rumah. Sepasukan anggota polis yang sedang menjalankan rondaan kemudian berjaya menahan seorang lelaki berusia 30an, yang dipercayai suspek kejadian itu selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan," katanya ketika dihubungi di sini.

Ruslan berkata Demah yang berasal dari Indonesia mempunyai taraf penduduk tetap (PR) dan mengambil upah urut secara sambilan di rumahnya.

Katanya, mayat wanita itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat manakala anak angkatnya turut dihantar ke hospital yang sama untuk mendapatkan rawatan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi talian hot line polis Johor di 07-2212999 atau terus ke balai polis berhampiran. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Artikel Lain