suria

Tiga Pengarah Syarikat Pelaburan Didakwa Menerima Deposit Tanpa Lesen Sah

KUALA LUMPUR: Tiga pengarah sebuah syarikat pelaburan jongkong emas didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, kerana kesalahan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesan yang sah.

Pada 14 Okt lalu, tiga pengarah itu iaitu Pengarah Syarikat Genneva Sdn Bhd Ng Poh Weng, 61, Marcus Yee Yuen Seng, 59 dan Chin Wai Leong, 35, didakwa terhadap 707 pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan urus niaga bernilai ratusan juta ringgit.

Dalam prosiding hari ini, ketiga-tiga mereka memberi pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta yang sama, yang membawa hukuman denda sehingga RM10 juta ringgit atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen yang sah di 52A-1, Jalan Kuchai Maju 6, Off Jalan Kuchai Lama di sini antara November 2008 dan Julai 2009.

Pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa Bank Negara Malaysia, Alvin Ong Heng Kiat memohon kes itu dibicarakan bersama dengan kes pengubahan wang haram atas alasan melibatkan saksi yang sama.

Bagaimanapun, peguam K. Selva yang mewakili mereka membantah kerana akan menimbulkan kekeliruan antara kedua-dua kes itu.

Beliau juga memohon wang jaminan bagi kes pengubahan wang haram iaitu RM1juta diguna pakai bagi kes hari ini.

Hakim S.M Komathy Suppiah membenarkan kes itu dibicarakan bersama dengan pengubahan wang haram dan menetapkan 21 Mac depan untuk sebutan semula kes tersebut dan turut membenarkan ketiga-tiga mereka diikat jamin dengan nilai yang sama dalam kes pengubahan wang haram iaitu RM1juta dengan seorang penjamin. -BERNAMA

Artikel Lain