suria

Pengajar Pusat Latihan Perkayuan Maut Dalam Kemalangan

KUALA TERENGGANU: Seorang pengajar di Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu terbunuh apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di kilometer 137 Jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu, Kampung Felda Belara dekat sini, pukul 7.35 pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Zamri Shamsuddin berkata mangsa Ahmad Afendie Othman, 26, dari Kampung Gong Badak di sini, sedang dalam perjalanan ke tempat kerja di Kampung Teris, Hulu Terengganu.

"Kejadian dipercayai berpunca daripada sebuah lori yang datang dari arah bertentangan cuba mengelak lubang dan termasuk ke laluan sebelah kanan lalu bertembung dengan kereta dipandu mangsa," katanya kepada pemberita di sini.

Akibat pertembungan itu, mangsa yang cedera parah di bahagian kepala, meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori cedera ringan mendapat rawatan sebagai pesakit luar.

Sementara itu isteri mangsa Norafidah Ismail, 26, ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini berkata tiada perubahan ketara dilihat pada suaminya.

"Saya lihat dia macam biasa saja, cuma dia tertinggal dompet saja hari ini," katanya yang kini hamil enam bulan anak pertama mereka.

Ayah mangsa Othman Ali, 52, yang bekerja di Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu berkata kali terakhir dia berbual melalui telefon dengan anak kedua daripada tujuh beradik itu minggu lalu.

"Arwah kedengaran gembira semasa berbual dengan saya tempoh hari," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain