suria

Lelaki Mati Ditetak, Rakannya Parah Dalam Pergaduhan Di Rawang

RAWANG: Seorang pengawal keselamatan mati ditetak manakala rakannya cedera parah dalam satu pergaduhan di Taman Muhibah di sini, Selasa.

S.Selvakumar, 24, yang putus tangan kirinya dan cedera parah di kepala dan perut mati di tempat kejadian.

Kejadian pada pukul 8.35 malam itu turut menyebabkan seorang rakannya S.Sashitharan, 28, cedera parah dan dirawat di Hospital Selayang, kata Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah.

Beliau berkata ketika kejadian Selvakumar sedang berbual bersama beberapa orang rakannya di hadapan sebuah rumah di taman itu.

"Sebuah kereta Proton Waja yang dinaiki empat lelaki menghampiri mereka dan keempat-empat lelaki terbabit, seorang daripadanya bersenjatakan parang keluar dari kereta dan berlaku pergaduhan antara mereka," katanya di sini, Selasa.

Beliau berkata keempat-empat lelaki terbabit kemudian melarikan diri dengan kereta yang sama.

Sehubungan itu, polis melancarkan gerakan mencari dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan, katanya.

Sementara itu, datuk kepada Selvakumar, S. Krishnan, 68, berkata cucunya itu memberitahunya bahawa dia ingin keluar bertemu rakan.

"Saya terkejut bila ada orang bagi tahu Selvakumar mati di depan sebuah rumah tidak jauh dari rumah saya," katanya ketika ditemui pemberita. - BERNAMA

Artikel Lain