suria

Kementerian Kesihatan Larang Keluarga Lawat Pelatih Pulapol

KUALA LUMPUR: Larangan lawatan ahli keluarga pelatih Pusat Latihan Polis (Pulapol) yang dirawat di hospital akibat jangkitan virus 'Adenovirus' bukan datang daripada Pulapol, sebaliknya dari Kementerian Kesihatan.

Komandan Pulapol SAC Zulkifli Mohamed berkata pihaknya menerima nasihat daripada Kementerian Kesihatan untuk disebarkan kepada keluarga berkenaan bahawa mereka tidak dibenarkan melawat pelatih di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Sungai Buloh bagi mengelakkan penularan penyakit di kalangan anggota keluarga.

"Kepada pihak keluarga kita minta beri kerjasama dengan arahan Kementerian Kesihatan," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Bagaimanapun, katanya, setiap pelatih tetap diberi kebenaran untuk menghubungi anggota keluarga terdekat untuk memaklumkan mengenai tahap kesihatan mereka.

"Namun, sekiranya ada urusan yang memaksa mereka untuk melakukan lawatan ke atas pelatih-pelatih ini, kita akan pertimbangkan juga," katanya.

Mengenai keadaan di pusat latihan itu, Zulkifli berkata antara langkah pencegahan di pusat itu ialah menjaga kebersihan di dewan makan, tempat tinggal asrama pelatih dan persekitaran di Pulapol termasuk di kawasan kediaman staf.

Beliau berkata ketika ini lapan orang doktor dan 32 kakitangan Kementerian Kesihatan ditugaskan mengawal keadaan di pusat tersebut.

Katanya satu kaunter khas di kaunter 5, pesakit luar HKL juga telah dibuka kepada pelatih dan keluarga-keluarga kakitangan Pulapol di HKL untuk mendapatkan rawatan segera.

Katanya sehingga pukul 8 pagi ini, seramai 40 pelatih, 34 di HKL dan enam lagi di Sungai Buloh telah direkodkan. -BERNAMA

Artikel Lain