suria

Kabinet Akan Putuskan Mengenai Loji Kuasa Nuklear

KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada Malaysia akan meneruskan cadangannya untuk membina dua loji kuasa nuklear akan dibuat selepas Kabinet menilai kertas kerja yang akan diserahkan kepada Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, sama ada cadangan rancangan itu diteruskan atau tidak, bukan beliau yang memutuskannya.

"Kabinet yang akan memutuskannya. Kami perlu menunggu laporan yang akan dibentangkan kepada Kabinet," katanya.

Chin berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan basikal elektrik yang dikeluarkan oleh Eclimo Sdn Bhd, di sini, Rabu.

Terdahulu, dalam ucapan beliau, Chin berkata penggunaan pakai teknologi hijau penting kerana ia merupakan satu-satunya cara bagi mencapai pembangunan dan pertumbuhan mampan.

Beliau berkata, kerajaan merasakan teknologi hijau memainkan peranan penting dalam menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada perubahan iklim.

"Teknologi hijau adalah tindakan proaktif terbaharu kerajaan untuk merangsang industri dan institusi untuk menjadi penginovasi eko-teknologi dalam bidang reka bentuk eko, bahan material eko, produk dan perkhidmatan eko serta teknologi hijau karbon rendah," katanya.

Beliau berkat,a kementeriannya ketika ini sedang menyediakan Pelan Hala Tuju Prasarana Kenderaan Elektrik dan Program Kenderaan Ujian Armada di Putrajaya yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Chin berkata memperkatakan tentang 'inisiatif hijau' tidak akan lengkap tanpa menangani isu-isu kecekapan tenaga.

"Justeru itu, di bawah Pelan Induk Kecekapan Tenaga, kerajaan menyasar kecekapan tenaga dalam sektor pengangkutan.

"Saya percaya inisiatif yang diambil akan menyediakan persekitaran kondusif bagi pembangunan kenderaan elektrik dalam sektor pengangkutan termasuk basikal elektrik," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain