suria

Dua Beradik Warga Emas Bebas Tuduhan Edar Dadah

SHAH ALAM: Dua beradik warga emas boleh menghabiskan sisa-sisa kehidupan mereka dengan aman selepas tidak lagi dihantui dengan hukuman gantung bagi kesalahan mengedar dadah.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Noor Azian Shaari pada Rabu, melepas dan membebaskan Isa Salleh, 62, dan adiknya, Jamaludin, 58, selepas pihak pendakwaan menarik semula kes terhadap mereka.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Zuraida Wan Nawan juga memaklumkan bahawa pihaknya tidak berhasrat untuk meneruskan pendakwaan ekoran kematian adik bongsu Isa dan Jamaludin, Mohd Nor, 53, yang merupakan tertuduh pertama dalam kes tersebut.

Mohd Nor meninggal dunia sebelum kes itu dibicarakan.

Sebelum ini, ketiga-tiga mereka didakwa mengedar 720 gram ganja, dalam bentuk tiga ketulan mampat dan 38 paket lutsinar pada pukul 4 petang, 16 Mac 2010.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah bernombor 16, Jalan AU1 A/2, Taman Keramat, Ampang, dekat sini.

Bagi kesalahan itu, mereka yang diwakili oleh peguam Mejar (B) Ghazali Nik Taib didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Artikel Lain