suria

Semua Rakyat Malaysia Di Fukushima Selamat

KUALA LUMPUR: Semua warga Malaysia yang tinggal di daerah Fukushima, Jepun dilaporkan selamat kerana mereka berada di luar radius 50km dari Loji Tenaga Nuklear Daiichi yang meletup pada Sabtu, sehari selepas negara itu dilanda gempa dan tsunami.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan malam ini berkata mereka yang tinggal dalam radius 20km dari loji berkenaan telah diarahkan berpindah ke kawasan lebih selamat yang ditentukan oleh pihak berkuasa Jepun.

Letupan pertama di loji itu berlaku pada 2.30 petang (waktu Malaysia) pada Sabtu diikuti letupan kedua di reaktor Unit 3 sekitar 10.01 pagi (Waktu Malaysia) hari ini.

"Pihak berkuasa Jepun melaporkan bahawa keadaan tangki simpanan masih kukuh dan risiko sejumlah besar bahan radioaktif tersebar sangat rendah," katanya.

Kenyataan itu juga menerangkan bahawa pada 3.00 petang (4.00 ptg waktu Jepun) hari ini, Kedutaan Malaysia di Jepun telah dapat menghubungi 858 warga Malaysia termasuk pelajar di daerah yang paling teruk terjejas iaitu Miyagi, Fukushima, Iwate, Tochigi, Ibaraki, Chiba dan Saitama. "Kedutaan juga menghubungi warga Malaysia lain di kawasan yang kurang terkesan oleh gempa bumi. Semuanya selamat dan tidak terdapat laporan mengenai kemalangan jiwa warga Malaysia," katanya.

Kenyataan itu menjelaskan para pegawai kedutaan juga telah bertemu dengan sebahagian besar warga Malaysia di pusat pemindahan dengan menawarkan bantuan yang diperlukan.

Menurut para pegawai, sebahagian besar warga Malaysia tidak mahu berpindah ke Tokyo.

"Hanya kira-kira enam warga Malaysia (4 pelajar dan 2 warga Malaysia lain) memilih untuk pulang bersama pasukan pemantau ke Tokyo," kata mereka. Kedutaan akan terus memantau keadaan mereka dan menawarkan bantuan.

Menurut kenyataan itu, Bilik Operasi di Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia di Tokyo kini beroperasi 24 jam. -BERNAMA

Artikel Lain