suria

Pilihan Raya Negeri Sarawak: SPR Hanya Tunggu DUN Dibubar

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah bersiap sedia dalam semua aspek terutamanya logistik dan latihan menjelang pilihan raya negeri Sarawak yang akan diadakan tidak lama lagi.

Pada ketika ini, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, badan itu hanya menunggu tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

“Kita hanya tunggu tarikh pembubaran DUN Sarawak sahaja. Persiapan kita sudah lebih daripada 80 peratus.

“Insya-Allah pada minggu depan kita akan adakan mesyuarat untuk memberi taklimat kepada ketua pusat mengundi dan pegawai penguat kuasa kempen yang terlibat. Proses ini akan selesai sebelum akhir Mac,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Selasa.

Beliau berkata, bagi aspek logistik SPR telah membuat persiapan rapi kerana faktor bentuk muka bumi di Sarawak yang memerlukan pengangkutan udara dan air untuk menghantar dan mengangkut peti-peti undi.

“Kita telah pun menyediakan perkhidmatan seperti helikopter, kereta pacuan empat roda, sampan, bot kerana bentuk muka bumi yang tidak sekata di Sarawak.

“Jadi, saya tak nampak kita akan menghadapi masalah pada pilihan raya negeri Sarawak nanti,” katanya.

Wan Ahmad bagaimanapun tidak menolak kemungkinan, peruntukan sebanyak RM45 juta yang dipohon daripada Kementerian Kewangan sebelum ini mungkin tidak mencukupi disebabkan faktor cuaca yang tidak menentu lewat kebelakangan ini.

“Saya tidak nafikan ada kemungkinan peruntukan bajet sebanyak RM45 juta yang kita minta sebelum ini tidak mencukupi.

“Ini semua disebabkan bentuk muka bumi di Sarawak yang akan terjejas pada musim hujan terutamanya apabila musim hujan kerana masalah seperti kenaikan paras air sungai, kabus akan menyebabkan penerbangan helikopter tidak dapat dijalankan sekali gus mengganggu kelancaran pilihan raya,” katanya.

Justeru itu, Wan Ahmad berkata, SPR telah menyiapkan pelan kontingensi dengan mengambil kira pelbagai faktor dalam menghadapi apa jua kemungkinan ketika pilihan raya negeri Sarawak berlangsung.

“Pada pilihan raya negeri Sarawak kita akan gunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2010 yang akan digabungkan dengan daftar pemilih terkini.

“Kita akan kemas kini DPI ini dengan membersihkan dan mengeluarkan nama-nama pengundi yang telah meninggal dunia dan mereka yang hilang kelayakan. Oleh itu, kita akan gunakan DPI yang akan dikemas kini sehari sebelum sidang DUN negeri dibubarkan,” katanya.

Sejumlah 14, 929 petugas pilihan raya pelbagai pangkat akan terlibat dengan 71 pegawai pengurus dan 172 penolong pegawai pengurus telah dilantik bagi memastikan proses pilihan raya negeri Sarawak berjalan lancar.

Pilihan raya negeri Sarawak perlu diadakan sebelum bulan Julai tahun hadapan dan ramai pemerhati politik meramalkan ia akan diadakan pada awal bulan April atau Mei.

Sarawak mempunyai 71 kerusi DUN dengan 62 daripadanya dikuasai oleh Barisan Nasional (BN).

Artikel Lain