suria

Pembangkang Sedia Hadapi Pilihan Raya Sarawak

KUALA LUMPUR: Walaupun tarikh sebenar pilihan raya Sarawak belum diumumkan, namun pakatan pembangkang menyatakan bahawa mereka telah bersiap sedia untuk menghadapinya bila-bila masa.

Perkara itu diputuskan pemimpin tertinggi parti dalam pakatan itu pada satu mesyuarat yang dipengerusikan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di pejabatnya di Bangunan Parlimen di sini, Isnin.

Turut hadir Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang serta kepimpinan utama parti-parti komponen pakatan pembangkang.

Abdul Hadi dalam sidang akhbar selepas mensyuarat itu berkata, setakat ini perkara penting yang melibatkan kepentingan parti-parti dalam pakatan pembangkang termasuk pembahagian kerusi, telah selesai.

"Kita akan meneruskan penyertaan dalam pilihan raya ini dan membuat persediaan seperti yang dibincang hari ini," katanya.

Beliau berkata, semua perkara berhubung pilihan raya itu juga akan diselesaikan sebelum pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Parti pembangkang dalam pada itu terus mendesak Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) agar melanjutkan tempoh berkempen daripada tujuh hari kepada 21 hari.

"Kita juga mendesak agar hak media dan hak berkempen diberi sama rata kepada semua parti-parti yang bertanding," kata Abdul Hadi. - BERNAMA

Artikel Lain