suria

Pameran Mistik Di Terengganu Akan Diputuskan Majlis Fatwa Negeri

KUALA TERENGGANU: Majlis Fatwa Negeri Terengganu (MFNT) masih belum dapat memberi kata putus mengenai cadangan sebuah syarikat mengadakan pameran mistik di Dataran Shahbandar di sini pada bulan depan.

Ahli Jawatankuasa MFNT Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, pihaknya telah mengadakan satu mesyuarat jawatankuasa fatwa yang dipengerusikan oleh Mufti Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Dr Alias Abdullah petang semalam.

"Saya maklumkan keputusan mesyuarat itu, jawatankuasa MFNT tidak membuat keputusan yang muktamad dan perkara itu (pameran) kita bawa kepada Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk memutuskannya," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah Ujian Hafazan Al-Quran peringkat negeri Terengganu di sini malam tadi yang disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri Muhamad Ramli Nuh.

Pada ujian itu seramai 18 peserta telah bertanding dalam tiga kategori hafazan Al-Quran iaitu satu juzud hingga 10 juzud, satu juzud hingga 20 juzud dan satu juzud hingga 30 juzud untuk memilih peserta dari Terengganu ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada bulan depan.

Shaikh Harun yang juga Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) berkata, pameran mistik itu merupakan satu perkara baru di mana didapati ada imbasan berkaitan dengan larangan yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini.

"Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sebelum ini tidak membenarkan pameran berhubung dengan perkara-perkara mistik seperti keranda, jin, syaitan dan perkara-perkara lain oleh syarikat berkenaan," katanya.

Beliau berkata, pameran seumpama itu merupakan pertama kali diadakan di Semenanjung Malaysia di mana sebelum ini pernah diadakan di negara Brunei Darussalam.

"Jadi kita kembalikan perkara ini kepada majlis Fatwa Kebangsaan dan memang wajar serta relevan sekali pihak kebangsaanlah yang akan mengeluarkan kata putus mengenai pameran itu," katanya.

Shaikh Harun berkata, Dr Alias selaku Mufti kerajaan Terengganu akan membawa perkara ini ke persidangan mufti-mufti seluruh Malaysia tidak lama lagi.

Katanya, Dr Alias akan berbincang terlebih dahulu dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selaku urusetia dan diharap persidangan itu diadakan secepat mungkin. -BERNAMA

Artikel Lain