suria

M'sia Tidak Seperti Timur Tengah: Najib

TANJUNG KARANG: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata suasana politik di Malaysia tidak mungkin bergolak seperti di Timur Tengah dan Utara Afrika kerana kerajaan tidak mengamalkan pemerintahan kuku besi malah sentiasa peka terhadap kehendak semasa rakyat.

Perdana Menteri berkata, jika rakyat tidak berpuas hati dengan pemerintahan Barisan Nasional (BN), tidak mungkin BN menang pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kawasan Merlimau dan DUN Pahang kawasan Kerdau pada 6 Mac lepas dengan jumlah majoriti undi yang meningkat.

"Kalau rakyat tidak berpuas hati, majoriti kita tidak akan bertambah dalam pilihan raya kecil itu," katanya semasa berucap pada majlis perasmian projek Nadi Kasih peringkat kebangsaan di Kampung Sungai Gulang-Gulang di sini hari ini.

"Sebagai kerajaan kita sedar tahap ukuran (rakyat) bukan semudah dahulu. Politik pembangunan bukan segala-galanya," kata Najib lagi.

Najib berkata, projek pembangunan di negeri seperti Selangor sudah mencukupi dan rakyat yang mendiami kawasan bandar ingin melihat tadbir urus kerajaan yang baik, menegakkan keadilan sosial, telus dan bebas daripada amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Beliau berkata, kerajaan telah membuktikan dalam perkara ini dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan untuk menyiasat kes kematian Teoh Beng Hock, Setiausaha Politik Exco Selangor Ean Yong Hian Wah selepas ramai yang tidak berpuas hati dengan keputusan terbuka koroner dalam inkues yang dijalankan sebelum ini.

"Kerajaan membuat prosiding terbuka dalam hal ini supaya rakyat dapat membuat penilaian bagi mencari kebenaran dan keadilan.

"Bukan sahaja kes Teoh, rakyat termasuk penduduk Tanjung Karang juga ingin tahu identiti lelaki Y yang dilaporkan dalam kes liwat melibatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Najib berkata keadilan dan kebenaran dapat dicapai jika keraguan dapat dihilangkan.

Najib berkata sebagai kerajaan, BN memahami denyut nadi rakyat dan ada empat keperluan rakyat Malaysia iaitu kos sara hidup yang berpatutan, kediaman yang mampu dimiliki, pendidikan dan tahap kesihatan yang baik serta kos pengangkutan yang mampu ditanggung mereka.

"Ini keperluan asas rakyat Malaysia, 'bread and butter issue' kata orang putih," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga menubuhkan 1Malaysia Development Bhd yang melalui projek khidmat sosialnya membiayai kerja-kerja pemulihan rumah-rumah uzur golongan miskin tegar.

Katanya sejumlah 10,000 rumah akan dibaik pulih di 100 kawasan parlimen terpilih dengan kos pembiayaan maksimum RM5,000 bagi satu unit rumah.

Najib berkata, kerajaan perlu mengurus tadbir negara dengan berkesan untuk menjana pendapatan tambahan kerana kecekapan pentadbiran akan membawa keuntungan yang seterusnya boleh diagih-agihkan kepada golongan miskin, berpendapatan rendah di bandar dan luar bandar.

Najib berkata program Nadi Kasih merupakan bantuan secara langsung kerajaan kepada rakyat berbanding pembangkang yang memberi bantuan RM100 seorang setahun tetapi riuhnya sekampung.

Katanya, rakyat memahami bahawa BN merupakan parti yang membela rakyat dan telah banyak berbudi dan berbuat baik kepada rakyat dan sejarah budi baik dan khidmat bakti BN ini akan diteruskan untuk masa akan datang.

Beliau berkata, pihak tertentu tidak perlu melihat petanda dari Timur Tengah tetapi sepatutnya mereka melihat petanda baik kemenangan BN pada pilihan raya kecil Bagan Pinang, Hulu Selangor, Batu Sapi, Merlimau dan Kerdau boleh berulang di Selangor yang kini dikuasai kerajaan pakatan pembangkang.

Perdana Menteri berkata, pemilihan Tanjung Karang sebagai tuan rumah kepada upacara pelancaran Nadi Kasih yang sudah bermula Februari lepas kerana kawasan parlimen ini merupakan kubu kuat BN di Selangor.

"Dari kubu kuat ini kesan limpahan akan merebak, menyentuh setiap pelusuk Selangor agar cita-cita kita kembalikan Selangor ke Barisan Nasional jadi kenyataan," katanya.

Najib juga berkata, BN telah menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dalam pilihan raya kecil DUN Merlimau dan Kerdau baru-baru ini.

Kedua-dua mereka telah melepasi KPI masing-masing iaitu majoriti melebihi keputusan pilihan raya umum 2008 apabila Mohd Ali melepasi KPI dengan majoriti 3,500 undi apabila BN memperoleh lebih 3,700 di Merlimau, katanya.

Dalam sidang berita kemudian, Najib berkata jika ada pemimpin BN yang tidak mencapai KPI seperti disasarkan kepada Mohd Ali dan Adnan, beliau berkata pucuk pimpinan akan melihat faktor yang menyebabkan mereka tidak mencapai KPI itu sama ada di luar kawalan atau akibat kelemahan tertentu.

Ditanya mengenai KPI untuk pilihan raya DUN Sarawak nanti, beliau berkata: "Adalah, nanti kita akan umumkan." Selepas perasmian Nadi Kasih itu, Najib yang diiringi oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar melawat rumah tiga penerima bantuan baik pulih rumah di bawah program itu iaitu Kamarudin Abu Bakar dan Tang Seng Hai dari Kampung Bagan Pasir serta M.Naiyagan dari Kampung Sungai Yu.

Semasa di Bagan Pasir, Najib sempat meninjau keadaan Kamarudin yang kini terlantar kerana lumpuh sebelah badan akibat serangan angin ahmar. - BERNAMA

Artikel Lain