suria

Lapangan Minyak Baru Ditemui 100KM Luar Pantai Brunei

MIRI: Satu lapangan minyak baharu yang dianggar mengandungi simpanan beberapa ratus juta tong minyak telah ditemui kira-kira 100 kilometer di luar pantai dari Brunei, demikian lapor The Brunei Times, pada Selasa.

Menurut akhbar harian itu, penemuan itu dibuat oleh Brunei Shell Petroleum (BSP) yang menyifatkannya sebagai cari gali yang berjaya dan penemuan minyak dan gas yang penting dalam kawasan terukur laut dalamnya.

Memetik kenyataan BSP, ia berkata lapangan itu yang dikenali sebagai Geronggong berada di kawasan terukur luar pantai ketiga dengan kedalaman kira-kira satu kilometer, air paling dalam yang di mana BSP telah menemui hidrokarbon dalam kawasan terukur Brunei.

"Kedalaman itu mencukupi untuk menenggelamkan sepenuhnya bangunan tertinggi di dunia, Burj Khalifa, di Dubai yang setinggi 828 meter," kata syarikat itu.

Penggerudian di telaga Geronggong dijalankan oleh kapal gerudi dan penilaian ke atas data yang diperoleh daripadanya masih sedang dinilai.

"Bagaimanapun data awal menganggarkan, lapangan itu mungkin mengandungi beberapa ratus juta tong minyak, yang menjadikan ia penemuan paling penting bagi Brunei," kata BSP. -BERNAMA

Artikel Lain